Pengunjung Bazar Ramadan Rahmah terima insentif tunai

Shaharuddin (dua dari kanan) melihat salah seorang pelanggan yang telah siap mendaftar dan menerima sumbangan tunai RM20 yang dimasukkan ke e-wallet di Bazar Ramadan Rahmah Binjai Rendah di Marang, Terengganu.
Shaharuddin (dua dari kanan) melihat salah seorang pelanggan yang telah siap mendaftar dan menerima sumbangan tunai RM20 yang dimasukkan ke e-wallet di Bazar Ramadan Rahmah Binjai Rendah di Marang, Terengganu.
A
A
A

MARANG - Seramai 6,000 pengunjung Bazar Ramadan Rahmah Binjai Rendah di sini berpeluang menerima insentif tunai RM20 secara one-off yang akan dimasukkan ke e-wallet masing-masing bagi membolehkan mereka membuat pembelian tanpa tunai (cashless).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Shaharuddin Mohd Kia berkata, pengunjung bazar berkenaan akan menerima wang tersebut selepas melakukan proses imbasan kod QR di kios yang disediakan di situ.

Beliau berkata, insentif itu disediakan kepada setiap 1,000 pengunjung pertama yang mendaftar di kiosk yang dibuka pada setiap hujung minggu.

"Pemberian insentif e-wallet kepada pengunjung bazar ini akan dilaksanakan sebanyak enam kali pada setiap hujung minggu menerusi operator atau penyedia e-wallet yang bekerjasama dengan kementerian.

"Ia bertujuan memberi manfaat kepada kumpulan sasar terutamanya golongan berpendapatan rendah untuk membantu meringankan beban mereka.

"Selain diberikan kepada pengunjung, seramai 80 peniaga di bazar tersebut juga mendapat RM30 yang akan dikreditkan ke e-dompet mereka sebagai galakan kepada mereka untuk menyediakan jualan Menu Rahmah kepada pengunjung," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau bazar Ramadan itu di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, katanya, jualan Menu Rahmah di bazar-bazar Ramadan di Terengganu terus mendapat sambutan hangat dalam kalangan peniaga.

"Menu Rahmah merupakan penglibatan secara sukarela daripada peniaga-peniaga, tiada paksaan dan biasanya peniaga-peniaga ini ingin turut sama menyumbang sebab mereka faham mengenai pelaksanaan itu dan kita (KPDNHEP) juga turun padang, kita semak dan bincang dengan peniaga.

"Mereka faham dan tahu ada dalam kalangan pembeli yang ada masalah dengan isu peningkatan kos harga barang dan sebagainya, jadi mereka ingin turut sama menyumbang.

"Cara untuk turut serta ialah melalui sumbangan daripada jualan-jualan. Menu Rahmah ini bukan bermaksud melibatkan semua barang, mereka boleh pilih barangan mana yang ingin dijual dengan harga lebih rendah kepada pengguna," katanya.

Dalam pada itu, katanya, seramai 116 pegawai penguat kuasa dan 58 pegawai pemantau harga akan bertugas memantau dan memeriksa harga di semua bazar Ramadan di seluruh Terengganu.