Yahaya pangku jawatan Ketua Polis KL

Yahaya (kanan) dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur bagi menggantikan Azmi (kiri) dengan disaksikan Sahabudin dalam majlis serah terima tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto: Rosli Talib
Yahaya (kanan) dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur bagi menggantikan Azmi (kiri) dengan disaksikan Sahabudin dalam majlis serah terima tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto: Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur berkuat kuasa Jumaat.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Datuk Azmi Abu Kassim yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG) Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd Manan yang menjadi saksi majlis itu berkata, beliau mengambil peluang ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Azmi di atas pelantikan sebagai pengarah pengurusan baharu.

"Terima kasih atas sumbangan Azmi sepanjang terajui kontinjen Kuala Lumpur.

"Harap pegawai dan anggota beri kerjasama baik kepada Yahaya untuk teruskan kecemerlangan Polis Kuala Lumpur. Saya yakin beliau mampu laksana tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Saya yakin dan percaya dengan urus tadbir strategik ini dapat meneruskan kecemerlangan kontinjen Kuala Lumpur," katanya dalam Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

14 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan Azmi diumumkan sebagai Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman yang baharu.

Kenaikan pangkat Azmi sebagai Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman bagi mengisi kekosongan jawatan itu susulan persaraan wajib penyandang jawatan itu sebelum ini, iaitu Datuk Seri Zaini Jass pada 9 Mac lalu.