Pemilihan UMNO Bahagian Sipitang tidak sah

Kamarlin
Kamarlin
A
A
A

SIPITANG - UMNO Bahagian Sipitang diarah untuk mengadakan semula mesyuarat perwakilan bahagian berikutan perjalanan mesyuarat yang diadakan pada 18 Mac lalu tidak sah.

Pemimpin tertinggi UMNO Bahagian Sipitang, Datuk Kamarlin Ombi yang mengesahkan perkara itu berkata, pemilihan dijangka diadakan semula selepas sambutan Aidilfitri nanti.

"Pemilihan semula akan dikendalikan oleh UMNO Sabah. Tarikh belum ditentukan lagi, mungkin dijangka selepas hari raya sebab ada tiga bahagian termasuk Beluran dan Kota Kinabalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian berikutan tular satu surat di aplikasi WhatsApp dipercayai daripada UMNO pusat berhubung aduan berkenaan keputusan pemilihan UMNO Bahagian Sipitang.

Antara isi kandungan surat itu ialah Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO Malaysia 2023 telah menerima aduan berkaitan teridakteraturan perjalanan mesyuarat dan proses pemilihan UMNO bahagian berkenaan.

Selepas penelitian dibuat terhadap aduan itu, Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO membuat keputusan bahawa Mesyuarat dan Pemilihan UMNO Bahagian Sipitang adalah tidak sah.

Surat itu turut menyatakan bahawa UMNO Bahagian Sipitang perlu membuat semula di semua peringkat jawatan dalam bahagian itu tetapi tidak terlibat untuk pemilihan di peringkat pusat.

Calon perlu menggunakan nombor calon dan senarai perwakilan yang sama untuk proses pemilihan semula, manakala tarikh, masa serta tempat untuk pemilihan itu perlu ditentukan dan dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO Negeri dan Badan Perhubungan Sabah.

Sebelum itu, terdapat aduan yang mendakwa pihak pengerusi dan jawatankuasa pemilihan tidak melaksanakan tugas serta tanggungjawab secara telus apabila mengumumkan jumlah kehadiran perwakilan yang layak mengundi pada hari itu adalah seramai 705 orang.

Bagaimanapun, kertas undi yang dikeluarkan sebanyak 820 iaitu melebihi jumlah kehadiran seramai 115 orang.