6,000 keluarga dapat manfaat projek Rezeki Ramadan

Islamic Relief Malaysia mengedarkan 100 unit baucar tunai bernilai RM200 kepada komuniti pelarian dari Myanmar di Pangsapuri Sri Nilam, Ampang, Selangor sempena menyambut bulan Ramadan.
Islamic Relief Malaysia mengedarkan 100 unit baucar tunai bernilai RM200 kepada komuniti pelarian dari Myanmar di Pangsapuri Sri Nilam, Ampang, Selangor sempena menyambut bulan Ramadan.
A
A
A

SHAH ALAM - Projek Rezeki Ramadan anjuran Islamic Relief Malaysia bakal memberi manfaat kepada lebih 6,000 keluarga golongan B40, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, pesakit kronik, pelarian dan penduduk terjejas bencana di seluruh negara.

Pengurus Bahagian Program Islamic Relief Malaysia, Fa’azurah Kadir berkata, untuk permulaan, sebanyak 100 unit baucar tunai bernilai RM200 telah diedarkan kepada komuniti pelarian Myanmar di Pangsapuri Sri Nilam, Ampang, Selangor.

“Baucer tersebut boleh ditebus di pasar raya terpilih. Bantuan ini berperanan sebagai alternatif untuk membantu penerima dalam berdepan isu kenaikan kos sara hidup dan masalah kewangan.

“Pendekatan baucar tunai diguna pakai bagi memberi fleksibiliti kepada mereka untuk membeli barangan mengikut keperluan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Fa’azurah, menerusi program berkenaan turut diberi pek makanan yang dilengkapi dengan barangan keperluan asas seperti beras, bihun, gula, garam, tepung gandum, dan sebagainya.

"Ia sudah diadakan selama hampir empat dekad secara bermusim,"ujarnya.

Sementara itu, seorang penerima, Mohd Shahid Mohd Ilya memberitahu, dia berasa syukur kerana ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan meskipun mereka bukan warganegara.

“Saya bekerja di kedai cuci kereta untuk menampung kehidupan kami empat beranak, sebelum ini, saya kutip besi buruk dan jual. Itu sahaja punca pendapatan saya, dalam sehari dapat sekitar RM20 atau RM30.

“Hidup kami memang susah, sewa rumah sering tertunggak. Kami sekeluarga pernah tidak makan selama tiga hari hingga anak-anak menangis kelaparan sebab memang tiada duit untuk membeli makanan," jelasnya.

Selain bantuan dalam negara, Islamic Relief Malaysia turut mengedarkan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan di luar negara termasuk di Palestin, Indonesia, Bosnia, Filipina, Syria, Yaman, Afghanistan, Lubnan, Somalia dan Pakistan.

Orang awam yang mahu menyalurkan bantuan boleh melayari laman sesawang www.islamic-relief.org.my atau hubungi ibu pejabat Islamic Relief Malaysia di talian 03-8926 3434.