Peguam nafi Zakir Naik ditahan

Zakir Naik dikehendaki pihak berkuasa India. - Agensi
Zakir Naik dikehendaki pihak berkuasa India. - Agensi
A
A
A

MUSCAT - Peguam kepada Dr Zakir Naik menafikan pendakwah Islam itu ditahan di Oman dan akan dihantar pulang ke India.

Akberdin Abdul Kader sebaliknya memaklumkan kehadiran Zakir ke Oman adalah dialu-alukan dan disambut dengan protokol rasmi di ibu negara Muscat.

Menurut Akberdin lagi, Zakir memberitahunya bahawa penahanannya sekadar berita palsu oleh media India yang dikawal kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi.

"Beliau telah menghantar mesej kepada saya mengatakan keadaannya selamat dan kini berada di sebuah hotel," ujar Akberdin.

Sementara itu, Zakir turut memaklumkan kepada pengikutnya di Facebook bahawa beliau selamat tiba di Oman pada 22 Mac bagi menyampaikan ceramah agama.

Menurut laporan di Times of Oman, beliau dijemput ke Oman untuk siri kuliah oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama, (MERA).

Kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu berkata, ''Kementerian yang diwakili oleh Jabatan Memperkenalkan Islam dan Pertukaran Budaya di pejabat Iftaa sedang menganjurkan kuliah oleh pendakwah Dr Zakir Naik.''

Kenyataan itu seterusnya berkata, tajuk syarahan itu ialah 'al-Quran adalah Keperluan Global' dan ia dijadualkan berlangsung pada 23 Mac.

Pada 25 Mac, satu lagi kuliah dijadualkan oleh kementerian dengan kerjasama Universiti Sultan Qaboos.

Saluran berita berbahasa Inggeris, News18 pada Khamis melaporkan bahawa Zakir akan ditahan dan dihantar ke India.

Menurut laporan itu,agensi perisikan India bekerjasama dengan pihak berkuasa Oman untuk menahan dan menghantar pulang Zakir mengikut undang-undang tempatan.

Zakir adalah pemastautin tetap di Malaysia dan menetap di Putrajaya.

Beliau dikehendaki untuk disoal siasat berhubung tuduhan pengubahan wang haram dan aktiviti lain yang menyalahi undang-undang. - Agensi