Larikan diri kerana tidak tahan dipukul

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga pekerja pembantu wanita Indonesia melarikan diri dari rumah ejen pekerja asing pada 23 Mac lalu kerana tidak tahan selalu dipukul selain tidak dibayar gaji selama mereka bekerja.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketiga-tiga mangsa telah datang ke Balai Polis Padang Serai, Kulim untuk membuat laporan polis, semalam.

Menurutnya, selepas melarikan diri dari rumah ejen pekerja asing, mangsa-mangsa itu telah mendapatkan perlindungan di Konsulat Indonesia, Pulau Pinang.

"Siasatan awal yang dijalankan pihak polis mendapati mangsa adalah wanita warga Indonesia yang berumur antara 36 hingga 48 tahun dan datang ke Malaysia sejak Mei sehingga Disember tahun 2018 bekerja sebagai pembantu rumah.

"Polis mendapati mangsa-mangsa tersebut telah dieksploitasi oleh ejen pekerja asing dan ejen melakukan kesalahan pemerdagangan orang," katanya dalam satu kenyataan.

Mior Faridalathrash berkata, mangsa-mangsa telah dihantar ke rumah majikan dan jika majikan membuat aduan tentang pembantu rumah kepada ejen, maka mangsa akan dikembalikan kepada ejen dan mereka telah beberapa kali bertukar majikan.

Katanya, mangsa-mangsa tersebut mengadu dipukul dan dimarahi oleh ejen kerana tidak pandai menjalankan kerja-kerja pembersihan rumah dan tidak dibayar gaji selama mereka bekerja.

"Tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki berumur 59 tahun dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Artikel Berkaitan: