AGC tidak tahu status pengembalian AS$10 juta Rohana

Azalina
Azalina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pejabat Peguam Negara (AGC) tidak mengetahui sama ada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan sudah mengembalikan wang AS$10 juta berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.


Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH - Kepong) yang bertanya kepada perdana menteri apakah Rohana telah memulangkan wang tunai berjumlah AS$10 juta itu.

Lip Eng juga meminta perdana menteri menyatakan berapa banyak aset 1MDB yang telah dikembalikan kepada kerajaan dan berapa hutang 1MDB yang masih perlu dibayar kerajaan.

"Jabatan peguam negara tiada pengetahuan berkenaan perkara ini. Terima kasih," kata Azalina bagi pihak perdana menteri.

Tahun lalu, Rohana menyatakan persetujuan untuk menyerahkan semula AS$10 juta yang diberikan oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc Tim Leissner kepadanya.

Sebelum itu, Leissner memberitahu Mahkamah New York bahawa beliau memberikan Rohana AS$10 juta yang mana bekas pegawai tertinggi Astro itu membeli sebuah rumah bernilai AS$7 juta di Montpelier Street, London.

Leissner ialah saksi utama pendakwaan bagi perbicaraan bekas rakan sekerjanya di Goldman Sachs Roger Ng yang didakwa membantu menyeleweng dana kekayaan 1MDB milik Malaysia ketika skim itu wujud dari 2009 hingga 2014.