Dewan Rakyat kecoh dakwaan isu TikTok live Shahidan terganggu

Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mencelah sesi jawapan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa, bagi peruntukan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.
Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mencelah sesi jawapan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa, bagi peruntukan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang Dewan Rakyat tegang seketika apabila Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mencelah sesi jawapan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa bagi peruntukan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.

Shahidan ketika sesi perbahasan sebelum itu membangkitkan rasa tidak puas hati beliau tentang tindakan TikTok memutuskan siaran langsung yang dibuat beliau di Dewan Rakyat sambil mempersoalkan sama ada KKD terlibat dalam mengawal tindakan seumpama itu.

Nie Ching dalam sesi jawapan itu memaklumkan KKD tidak terlibat kerana TikTok bukan di bawah kawal selia kementerian itu.

"Yang berhormat perlu faham TikTok bukan syarikat yang ditubuhkan di Malaysia, bukan syarikat bawah KKD, dia tak akan dengar arahan daripada KKD seperti itu sahaja," katanya.

Beliau juga turut mencabar Shahidan mengulangi dakwaan penglibatan KKD itu di luar Dewan Rakyat agar tindakan undang-undang boleh diambil.

'Cabaran' Nie Ching (PH-Kulai) mencetuskan rasa tidak puas hati Shahidan yang kemudiannya bertindak mencelah dengan meninggikan suara.

"Saya hanya minta penjelasan. Jika (KKD) tidak (terlibat), jawab tidak. Ini cabar keluar dewan. Saya bukan gila. Banyak lagi kerja untuk rakyat," ujar Shahidan.

Tindakan Shahidan menerima reaksi balas daripada Nie Ching dan juga Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor).

"Sabar yang berhormat, ini bulan Ramadan," ujar mereka.

Shahidan kemudiannya akur dan menarik balik kelantangan suara beliau dan sesi menjawab perbahasan berkenaan diteruskan.