SKJP ganti SRP tawar pembiayaan perumahan tanpa pendahuluan

Seramai 16,808 telah menerima manfaat daripada Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) setakat 31 Disember lalu. - Gambar hiasan
Seramai 16,808 telah menerima manfaat daripada Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) setakat 31 Disember lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Walaupun program Skim Rumah Pertama (SRP) tidak diteruskan pada tahun 2023, kerajaan melalui Belanjawan Madani 2023 telah bersetuju untuk meneruskan pembiayaan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi kenyataan pada Khamis berkata, ia merupakan salah satu Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) yang dilancarkan oleh KPKT dengan kerjasama Kementerian Kewangan pada 2022.

"SJKP merupakan program yang menawarkan pembiayaan perumahan tanpa perlu membayar wang pendahuluan kepada golongan tidak mempunyai pendapatan tetap atau kumpulan ekonomi gig," katanya.

Ujar KPKT, pemohon yang tergolong dalam kumpulan sasaran yang terlibat di bawah SRP masih boleh mendapatkan pembiayaan melalui SJKP ataupun institusi kewangan.

"KPKT akan terus menyokong usaha membantu peminjam mencapai impian pemilikan rumah selari dengan aspirasi dan keprihatinan kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

"Inisiatif ini akan membolehkan profil pembeli B40 dan M40 lebih kompetitif untuk mendapat tawaran pembiayaan rumah daripada institusi kewangan," katanya.

Dalam pada itu kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa seramai 16,808 telah menerima manfaat daripada Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) setakat 31 Disember lalu.

"Jumlah tersebut merangkumi nilai pinjaman RM2.32 bilion daripada RM5 bilion yang diperuntukkan," jelasnya.