Pinda Perlembagaan bayi lahir di luar negara dapat kerakyatan automatik dibentang September

Saifuddin Nasution. - Foto Bernama.
Saifuddin Nasution. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak yang lahir di luar negara oleh wanita warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing diberikan kewarganegaraan automatik dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada September depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, tempoh enam bulan diperlukan oleh jawatan kuasa teknikal dan jawatan kuasa kabinet yang dibentuk untuk pindaan berkenaan, memuktamadkan perbincangan.

Menurutnya, sejak terbentuknya kedua-dua jawatan kuasa berkenaan 17 Februari lalu, perbincangan dalaman telah berlangsung sebelum dibawa ke jemaah menteri.

"Kita jangkakan mereka memerlukan enam bulan bermaksud September tahun ini kita akan dapat bentangkannya.

"Prosesnya, jawatan kuasa teknikal bawa kepada jawatan kuasa kabinet, kemudian jawatan kuasa kabinet bawa kepada jemaah menteri dan jika semuanya berjalan dengan persetujuan kita akan persembahkan kepada Majlis Raja-Raja.

"Ini kerana, Perlembagaan Persetujuan mengkehendaki perkara yang membabitkan pindaan Perlembagaan mengenai warga negara, mesti dipersembahkan dan mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan daripada Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang mahu tahu bilakah pindaan Perlembagaan Persekutuan dapat dibuat bagi membolehkan anak yang lahir di luar negara oleh wanita warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing diberikan kewarganegaraan automatik.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga berhasrat membentangkan perkara tersebut kepada semua ahli parlimen dan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan.

"Jadi bukan hanya jawatan kuasa teknikal dan jawatan kuasa kabinet, tetapi juga kepada pihak berkepentingan.

"Saya optimis hal ini akan dapat disempurnakan mengikut jadual," katanya.

Antara lain, beliau turut menekankan perkara berkaitan undang-undang yang tidak mengiktiraf dua kewarganegaraan menjadi antara perkara yang perlu diharmonikan dalam usaha melaksanakan pindaan berkenaan.

.........................................................................................................

688 permohonan kewarganegaraan bagi anak lahir di luar negara

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menerima sejumlah 688 permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan bagi anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu yang merupakan rakyat Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu adalah daripada keseluruhan iaitu 150,000 permohonan warganegara yang diterima sehingga kini.

Jelas beliau, jumlah tersebut juga termasuk kes membabitkan kanak-kanak tanpa negara.

"Kita yakin di luar sana masih ada yang belum masuk permohonan lagi. Perkara ini (permohonan) adalah mengikut Perkara 15 (2) permohonan warganegara bagi anak yang lahir di luar negara oleh wanita rakyat Malaysia.

"Secara keseluruhan, kita terima 150,000 permohonan dengan kategori paling tinggi membabitkan anak tanpa warganegara atau yang lahir di luar ikatan perkahwinan.

"Ketika Perlembagaan Persekutuan dibuat pada tahun 1950-an, belum terbayang lagi kes wanita di negara kita yang merantau, bertemu jodoh, belajar dan membina kerjaya di luar negara," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang ingin mengetahui jumlah permohonan diterima melibatkan ibu yang memohon warganegara bagi anak yang dilahirkan.

Sebelum ini, Sinar Harian pada 17 Februari melaporkan, kerajaan bersetuju memberikan kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.

Keputusan dibuat pada mesyuarat Jemaah Menteri itu selepas meneliti dan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terhadap Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, KDN meletakkan sasaran sebanyak 948 permohonan warganegara di Sarawak diselesaikan pada Jun ini.

Jelasnya, ia khususnya membabitkan komuniti yang tinggal di kawasan pedalaman dan di sempadan, melalui penubuhan pasukan khas.

Tambah beliau, kerajaan dijangka membentangkan perkembangan mengenai pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu pada September ini.

"Selaras keputusan dibuat kerajaan pada 17 Februari lalu, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan bagi mengadakan perbincangan dan kita jangka mereka memerlukan tempoh selama enam bulan.

"Ia bermaksud pada September tahun ini, kita akan dapat membentangkannya iaitu dari jawatankuasa teknikal kepada jawatankuasa Kabinet, sebelum kepada Jemaah Menteri.

"Jika semuanya berjalan dengan persetujuan, maka ia akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja kerana pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai warganegara perlu dipersetujui Majlis Raja-Raja. Saya optimis hal ini akan dapat disempurnakan mengikut jadual," katanya.