Fitnah Guan Eng: Kementerian Kewangan buat laporan polis

Bangunan Kementerian Kewangan.
Bangunan Kementerian Kewangan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan (MOF) akan membuat laporan polis berhubung tuduhan terhadap bekas menteri dan pegawainya membatalkan kelulusan pengecualian cukai yang telah diberikan kepada Yayasan Albukhary.

Tegas kementerian itu, pihaknya memandang serius tuduhan tersebut.

"Seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada Selasa lalu, Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa Yayasan Albukhary telah diluluskan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan sebagai institusi yang ditubuhkan bukan untuk tujuan mencari keuntungan namun semata-mata ditubuhkan bagi maksud amal.

"Kementerian Kewangan sama ada melalui Lim Guan Eng atau pegawai-pegawainya tidak membuat sebarang pembatalan kepada kelulusan pengecualian cukai yang telah diberikan kepada yayasan itu," kata kementerian itu menerusi kenyataan pada Khamis.

Isu pembatalan pengecualian cukai Yayasan Albukhary timbul selepas bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Guan Eng telah membatalkan pengecualian yang telah diluluskan selepas gabungan kerajaan PH ditubuhkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merekodkan kenyataan berhubung tuduhan salah guna kuasa kerana memberikan semula pengecualian cukai yang diberikan kepada yayasan itu oleh kerajaan BN.

Bagaimanapun pada 10 Mac lalu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menafikan tuduhan tersebut sebelum membuat laporan polis pada Khamis.