Kerajaan kaji wujudkan tabung wakaf haji

Dr Mohd Nai'm - Foto Bernama.
Dr Mohd Nai'm - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedia mengkaji cadangan mewujudkan tabung wakaf haji dalam usaha mengurangkan tekanan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) seterusnya membantu subsidi haji untuk golongan yang memerlukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar berkata, beliau yakin TH akan mengambil kira sebarang inisiatif yang akan membantu kelangsungan subsidi bakal jemaah-jemaah haji.

"Inysa-ALLAH saya rasa TH akan mengambil kira cadangan tersebut (mewujudkan tabung wakaf haji) dan saya rasa ini sebahagian inisiatif yang akan diambil oeh TH pada masa depan.

"Kita akan niai dan buat kajian tentang cadangan ini, Insya-ALLAH bila sampai masanya kita akan laksanakan dengan baik," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang bertanya sama ada TH akan mewujudkan tabung wakaf haji bagi mengurangkan tekanan kepada TH.

Dalam pada itu, Mohd Nai'im berkata, TH bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mengenal pasti kategori kumpulan sasar yang bakal menerima subsidi haji.

"Kumpulan sasar ini telah dikenal pasti benar-benar memenuhi kriteria mengikut kategori (status) mereka," katanya.

TH meneruskan subsidi haji bersasar pada tahun ini dengan memperkenalkan tiga kategori jemaah iaitu kumpulan B40, M40 dan T20.

Bantuan Kewangan Haji (Hafis) bagi ibadah haji tahun ini hanya diperuntukkan kepada jemaah muassasah dalam kumpulan B40 dan M40 yang pertama kali menunaikan haji sahaja.

Manakala, jemaah muassasah dalam kumpulan T20 dikehendaki membayar penuh kos haji tahun ini iaitu berjumlah RM30,850.