Perkampungan atlet di Phnom Penh siap hujung bulan

Nasir (dua dari kanan) berkata sesuatu kepada para atlet ketika meninjau sesi latihan skuad bola tampar Sukan SEA di Shah Alam pada Rabu. - Foto Facebook MSN
Nasir (dua dari kanan) berkata sesuatu kepada para atlet ketika meninjau sesi latihan skuad bola tampar Sukan SEA di Shah Alam pada Rabu. - Foto Facebook MSN
A
A
A

PERKAMPUNGAN atlet menjelang 43 hari Sukan SEA Kemboja 2023 yang dikenali sebagai Sport City di Phnom Penh dijangka siap selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh ketua kontinjen negara, Datuk Mohd Nasir Ali yang memperoleh perkembangan tersebut daripada wakil tuan rumah baru-baru ini.

Beliau melahirkan rasa lega susulan penyediaan kemudahan buat atlet yang menggalas cabaran negara di temasya dwitahunan itu berjalan lancar bagi memastikan fokus mereka tidak terganggu.

“Perkampungan atlet Sukan SEA akan siap sebelum hujung bulan ini.

“Setakat ini saya dimaklumkan nama perkampungan atlet tersebut ialah 'Sport City'. Jadi bila tahu perkara itu memang rasa lega sebab tempat tinggal atlet sudah ada,” katanya.

Beliau yang diiringi timbalannya, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke pusat latihan skuad bola tampar dan bola tampar pantai di Shah Alam pada Rabu.

Mohd Nasir juga difahamkan bahawa Kemboja akan mengadakan perasmian perkampungan atlet dan Stadium Morodok Techo - salah satu venue pertandingan bola sepak pada 20 April depan.

“Namun mungkin ketika itu saya tidak hadir kerana ia lebih kepada urusan pihak tuan rumah, Kemboja,” katanya.

Pada Sukan SEA 2021 Hanoi yang diadakan Mei lepas setelah ditangguh setahun kerana pandemik Covid-19, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan keenam setelah meraih 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa.