'Saya masih ahli Parlimen BN' - Shahelmey

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PUTATAN - Status Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya sebagai Ahli Parlimen Putatan kekal walaupun beliau digantung keahlian dalam UMNO selama enam tahun.

Shahelmey bagaimanapun berkata, setakat ini beliau belum menerima surat secara rasmi daripada Majlis Tertinggi UMNO Pusat mengenai keputusan penggantungan keahliannya.

"Saya belum menerima surat rasmi daripada Majlis Tertinggi UMNO Pusat sebab pemilihan UMNO baru saja selesai pada 18 Mac lalu dan sekarang sudah ada jawatankuasa ataupun Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan nanti mereka akan bermesyuarat.

"Selepas bermesyuarat maka keputusan tentang status saya sebagaimana yang dinyatakan oleh Datuk Seri Bung Moktar (Ketua UMNO Sabah) itu akan diputuskan," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Sumbangan Moreh di Masjid Putatan di sini pada Rabu.

Sehubungan itu, Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata, pihaknya masih menunggu pengesahan mengenai penggantungan keahliannya itu.

"Sekiranya menjadi realiti, status sebagai ahli Parlimen masih sah seperti yang dikenakan terhadap Datuk Seri Hishammuddin Hussein apabila digantung keahlian bukan bermakna dipecat keahlian.

"Saya masih ahli UMNO dan wakil rakyat atau ahli Parlimen Barisan Nasional (BN). Cuma sekiranya saya membuat keputusan untuk bertukar parti untuk kerusi Parlimen, ia akan ditentukan oleh Speaker Dewan Rakyat berkaitan Akta Anti Lompat," katanya.

Katanya, setakat ini beliau belum membuat sebarang keputusan atau perancangan termasuk berkaitan bertanding untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bung Moktar baru-baru ini mengesahkan bahawa status Shahelmey sebagai ahli UMNO telah digantung selama enam tahun.