Geng godam curi kenderaan mewah tumpas

Osman (dua, kanan) menunjukkan alat penggodam elektronik digunakan bersama komputer ribu oleh suspek bagi tujuan mencuri kenderaan-kenderaan mewah di lima negeri sejak awal 2018.
Osman (dua, kanan) menunjukkan alat penggodam elektronik digunakan bersama komputer ribu oleh suspek bagi tujuan mencuri kenderaan-kenderaan mewah di lima negeri sejak awal 2018.
A
A
A

TAIPING - Ibarat aksi dalam filem, begitulah perlakuan jenayah dua suspek dari 'Geng Ah Hui Gurun' apabila menggunakan alat penggodam khas dihubungkan komputer untuk mencuri beberapa kenderaan mewah dari lima negeri sejak awal tahun 2018.

Namun, perbuatan jenayah mereka dihidu polis apabila kedua-duanya dicekup dalam satu operasi khas dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Taiping di hadapan sebuah hotel di Sik, Kedah pada 21 April lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, susulan siri laporan kehilangan kenderaan mewah di Taiping sejak kebelakangan ini, polis membentuk satu pasukan dan melancarkan operasi khas dipanggil Ops Lejang Khas 'Geng Ah Hui Gurun' bermula 8 April lalu.

Menurutnya, pada 21 April lalu jam 2 petang, anggota JSJ IPD Taiping bergerak ke Sik, Kedah bagi mengekori sebuah kereta mewah jenis Honda Accord warna hitam bernombor pendaftaran palsu dipercayai dicuri dan digunakan suspek.

"Kira-kira jam 5.45 petang hari sama, polis berjaya menahan dua suspek lelaki di hadapan sebuah hotel di Sik dan melakukan pemeriksaan ke atas kereta mewah terbabit.

"Semakan ke atas kereta itu mendapati ianya dilaporkan hilang di Setapak, Kuala Lumpur pada 17 April lalu," katanya pada sidang media di IPD Taiping di sini hari ini.

Osman berkata, pada jam 6.30 petang hari sama, dua suspek berusia lingkungan 30-an itu kemudiannya memandu arah anggota polis terlibat ke sebuah rumah di Kampung Seberang Pekan Sik.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah itu membawa penemuan beberapa barang kes dipercayai digunakan untuk menggodam dan menghidupkan enjin kenderaan mewah dicuri suspek berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Pada 21 April lebih kurang jam 7.20 petang, dua suspek berkenaan membantu anggota polis terlibat menemui semula sebuah kereta pelbagai guna jenis Toyota Vellfire warna putih dan bernombor pendaftaran palsu diletakkan berhampiran sebuah restoran makanan segera di Pekan Sik.

"Semakan kenderaan itu mendapati ianya dilaporkan hilang pada 18 April lalu dan dicuri di Jalan Baru Perai, Pulau Pinang," katanya.

Osman (tengah) tekun menyaksikan demonstrasi fungsi alat penggodam elektronik dalam menggodam sistem keselamatan sebuah kenderaan mewah dicuri suspek Geng Ah Hui Gurun hari ini.
Osman (tengah) tekun menyaksikan demonstrasi fungsi alat penggodam elektronik dalam menggodam sistem keselamatan sebuah kenderaan mewah dicuri suspek Geng Ah Hui Gurun hari ini.

Osman berkata, anggaran barangan rampasan dilakukan pihaknya dalam operasi itu bernilai RM1 juta meliputi dua kereta mewah tersebut, empat telefon bimbit, iPad, komputer riba, enam unit alat kawalan jauh kereta dan alat- alat penggodam.

Menurutnya, dua suspek itu dipercayai ahli 'Geng Ah Hui Gurun' yang menyasarkan kenderaan mewah sebagai sasaran untuk dicuri dengan cara menggunakan alat penggodam dan penghidup enjin elektronik.

"Kenderaan dicuri kemudiannya akan diubahsuai kepada nombor pendaftaran lain sebelum dijual kepada seorang orang tengah yang tinggal di Kuala Lumpur.

"Kumpulan ini terlibat dengan tujuh kes kecurian kenderaan mewah di negeri Johor, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang sejak awal tahun 2018 dan dipercayai menjual semula kenderaan itu dengan nilai RM30,000 hingga RM40,000," katanya.

Osman berkata, kedua-dua suspek merupakan orang luar di mana suspek pertama merupakan orang yang dikenakan pengawasan(Poca) dan memiliki 15 rekod jenayah curi kenderaan dan narkotik, manakala suspek kedua ada empat rekod jenayah kekerasan, judi dan narkotik.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan kumpulan Geng Ah Hui Gurun turut ada kaitan dengan kes kecurian kenderaan mewah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman yang ditemui semula di Teluk Intan baru-baru ini.

"Kita jangkakan lebih banyak kenderaan mewah dicuri akan dikenal pasti dengan penangkapan ini tidak lama lagi.

"Kedua-dua suspek kini direman sehingga 24 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri kenderaan," katanya.