Kenyataan Hadi boleh bawa amalan takfir - Mahasiswa Keadilan

Abdul Hadi - Foto Bernama
Abdul Hadi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Mahasiswa Keadilan Malaysia menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menuduh Parti Keadilan Rakyat (PKR) menentang al-Quran sebagai berbahaya dan boleh membawa kepada amalan takfir (menuduh seseorang sebagai kafir).

Menurut kenyataan persatuan itu, PKR hanya menolak sikap mempolitikkan agama serta pembawaan Islam yang ekstrem untuk kepentingan politik.

“PKR tidak pernah menolak al-Quran, malah pentadbiran Perdana Menteri dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sejajar dengan intipati al-Quran dan sunah.

“Buktinya dasar-dasar Belanjawan 2023 meletakkan al-Quran dan hadis sebagai panduan dalam menegakkan prinsip pertanggungjawaban dan sistem nilai luhur.

“Maka jelaslah, PKR tidak pernah menolak peranan, prinsip serta nilai agama Islam dalam politik, siasah dan pentadbiran negara,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Sebelum ini, Abdul Hadi menerusi kolum Minda Presiden Pas mendakwa PKR melawan al-Quran susulan seruan pemimpin mereka supaya ahli-ahli parti terbabit menyerang sebarang kenyataan ahli politik yang mempolitikkan agama.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menggesa ahli PKR supaya bersikap 'menyerang' terhadap kenyataan-kenyataan ahli politik yang berkeras untuk mempolitikkan agama.

Pada ucapan penggulungan ketika Kongres Nasional Khas PKR itu, Saifuddin turut mengetengahkan kenyataan Abdul Hadi yang menurutnya dibuat secara menentang titah diraja.

Dalam pada itu, Mahasiswa Keadilan turut menuntut semua pimpinan daripada mana-mana parti perlu bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

Ini kerana katanya, mencetuskan ketegangan antara kaum yang dibina oleh rakyat pelbagai bangsa boleh merencatkan proses pembangunan negara dan masyarakat.

“Mempergunakan agama untuk mencapai kuasa politik bukan satu tauladan yang baik oleh mana-mana pimpinan.

“Malah sebagai seorang agamawan, Abdul Hadi harus menyokong usaha Perdana Menteri untuk melahirkan masyarakat madani yang memfokuskan perkembangan ilmu dan pembinaan insan secara holistik,” menurut kenyataan itu.