Gempa bumi: Menteri Turkiye hargai sokongan Malaysia

Dua pasukan bomba yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Turkiye pada Februari lalu.
Dua pasukan bomba yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Turkiye pada Februari lalu.
A
A
A

ISTANBUL - Menteri pertahanan Turkiye memuji sokongan Malaysia terhadap negara itu yang dilanda dua gempa bumi dahsyat yang menggegarkan tenggara negara itu bulan lepas.

"Dalam usaha kerajaan menangani (kesan) gempa bumi dengan mengerahkan semua kekuatan kami, Malaysia menjadi antara negara yang menyokong kami sejak awal lagi," kata Hulusi Akar pada sidang media dengan rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan di Ankara, pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Akar berkata, bantuan Malaysia merupakan cerminan persahabatan dan persaudaraan antara kedua-dua negara.

"Hubungan kami sangat membina dan positif. Hubungan antara kedua-dua negara mendapat momentum dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Beliau berkata, hubungan antara Turkiye dan Malaysia adalah berdasarkan persahabatan dan persaudaraan dan pertemuannya dengan rakan sejawatannya itu sangat produktif dan membina.

Kedua-dua pemimpin turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu dua hala dan serantau serta kerjasama dalam latihan ketenteraan dan industri pertahanan.

Sebelum sidang media, Akar menyambut ketibaan Mohamad di Kementerian Pertahanan.

Kedua-dua pemimpin kemudian mengadakan pertemuan empat mata diikuti mempengerusikan bersama perbincangan antara delegasi.

Sementara itu, Mohamad berkata, Malaysia telah menubuhkan hospital lapangan di wilayah Adyaman yang dilanda gempa bumi.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia juga akan menyumbangkan peralatan dan barangan untuk hospital medan Malaysia.

Pada 6 Februari, gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 pada skala Richter melanda selatan Turkiye, meragut lebih 50,000 nyawa.

Kira-kira 13.5 juta penduduk di 11 bandar termasuk Kahramanmaras, Adıyaman, Hatay dan Gaziantep terjejas akibat bencana itu. - Bernama.