Tiga nelayan cemas bot dinaiki hampir karam di Pulau Kapas

Situasi cemas ketika ketiga-tiga nelayan diselamatkan oleh kru kapal RV Discovery milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Situasi cemas ketika ketiga-tiga nelayan diselamatkan oleh kru kapal RV Discovery milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Nyawa ibarat telur di hujung tanduk, demikian perumpamaan terhadap tiga nelayan dari Marang yang berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mereka hampir karam dalam kejadian di perairan Pulau Kapas pada Selasa.

Bagaimanapun, nelayan dari Marang itu berjaya diselamatkan kru kapal RV Discovery milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT, Dr Fatin Izzati Minhat berkata, kapal penyelidikan universiti itu berada pada 15 batu nautika dari muara Sungai Terengganu sebelum terserempak dengan bot dinaiki nelayan terbabit kira-kira jam 10.15 pagi.

"Ketika kejadian, kami dalam perjalanan mengambil sampel penyelidikan di perairan Pulau Kapas sebelum terserempak dengan nelayan berkenaan.

"Keadaan waktu itu amat genting kerana ketiga-tiga mereka hanya bergantung kepada bot yang telah bocor dan berada di atas bot yang sudah terbalik.

"Kami segera menghampiri dan membaling pelampung ke arah mereka. Selepas lebih 15 minit, kesemua mereka berjaya diselamatkan. Dua daripada mereka dipindahkan ke RV Discovery manakala seorang lagi nelayan berada di atas bot untuk menunggu bantuan daripada bot nelayan lain," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Fatin Izzati yang juga Chief Scientist on Board berkata, perjalanan ekspedisi penyelidikan yang dinaiki lapan kru, tiga kakitangan dan lapan pelajar universiti itu diteruskan setelah sebuah lagi bot nelayan sampai dan menunda bot yang hampir karam itu ke jeti.

Sementara itu, kapten kapal RV Discovery, Kapten Azman Embong berkata, dia bersyukur kerana dapat membantu menyelamatkan nelayan terbabit.

Katanya, ketika kejadian keadaan laut adalah tenang dengan ombak dianggarkan setinggi lima meter.

"Ini kali pertama saya terserempak dengan bot nelayan yang hampir karam. Syukurlah mereka semua sempat diselamatkan.

"Mujurlah keadaan cuaca juga begitu baik dan laut juga tenang hari ini. Ia amat membantu melancarkan kerja-kerja menyelamat," ujarnya.