Kriteria pemeriksaan kesihatan jemaah haji kekal tahun ini

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) mengekalkan kriteria pemeriksaan kesihatan bagi bakal jemaah haji Malaysia pada tahun ini sama seperti tahun sebelumnya.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, walaupun Malaysia kini menuju ke fasa endemik, kerajaan harus menghormati keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang masih mengklasifikasikan Covid-19 sebagai pandemik.

“Keputusan mengekalkan kriteria pemeriksaan kesihatan seperti musim haji 1443H/2022 adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan semua bakal jemaah berada pada tahap kesihatan yang baik dari segi fizikal dan mental untuk melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.

“Kriteria pemeriksaan kesihatan di bawah garis panduan ini antaranya menetapkan Indeks jisim badan (BMI) tidak melebihi 40, penyakit kronik seperti hipertensi dan diabetes yang stabil, tiada penyakit serius seperti kanser, penyakit paru-paru yang kronik dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dr Noor Hisham menjelaskan, pemeriksaan kesihatan bakal haji merupakan aktiviti penting yang dijalankan oleh KKM dengan kerjasama TH ke atas setiap jemaah yang akan menunaikan fardu haji ke tanah suci setiap tahun.

Ujarnya, ibadah tersebut memerlukan kekuatan fizikal dan mental, maka aspek kesihatan harus dititikberatkan oleh semua bakal haji bermula di tanah air lagi.

“Pemeriksaan kesihatan adalah satu langkah positif agar semua jemaah haji Malaysia mempunyai tahap kesihatan baik kerana ibadah ini melibatkan jutaan jemaah dari seluruh dunia.

“Semasa di tanah suci, jemaah haji juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak, elakkan berhubung dengan mereka yang bergejala dan menjalani kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) Covid-19 kendiri sekiranya mendapati diri bergejala,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif TH, Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata, saringan kesihatan yang ketat pada musim haji lalu adalah satu langkah yang berkesan apabila peratusan jemaah haji yang mendapatkan rawatan pesakit luar dan dimasukkan ke dalam wad amat rendah berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Kata beliau, selaras dengan peraturan yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi dan KKM, setiap bakal jemaah haji Malaysia wajib menjalani pemeriksaan kesihatan oleh doktor di klinik-klinik yang diiktiraf.

“Langkah ini dapat memastikan jemaah haji Malaysia berada pada tahap kesihatan yang optimum.

“Insya-ALLAH surat tawaran haji akan dikeluarkan bermula Rabu. Semua bakal haji Malaysia boleh menyemak dan menjawab tawaran haji melalui www.thijari.com.my atau memuat naik aplikasi THiJARI bagi tujuan tersebut,” tambah beliau.