LZS agih zakat RM30 juta bermula hari ini

Mohd Tamyes (dua dari kiri) menyampaikan bantuan zakat bagi persediaan Ramadan dan Syawal kepada salah seorang penerima di Dewan Besar Kolej Vokasional Gombak pada Selasa.
Mohd Tamyes (dua dari kiri) menyampaikan bantuan zakat bagi persediaan Ramadan dan Syawal kepada salah seorang penerima di Dewan Besar Kolej Vokasional Gombak pada Selasa.
A
A
A

GOMBAK – Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan mengagihkan bantuan zakat bagi persiapan Ramadan dan Syawal kepada 65,000 penerima bermula Selasa.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk diagihkan kepada penerima terdiri asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM9 juta diagihkan kepada 18,550 asnaf fakir diikuti 41,770 asnaf miskin (RM19 juta) dan 4,499 asnaf mualaf (RM1.6 juta).

"Daerah Petaling mencatatkan jumlah agihan zakat tertinggi melibatkan peruntukan RM5.6 juta kepada 11,799 penerima, diikuti Klang dengan RM5.4 juta kepada 11,743 penerima.

"Ia diikuti Hulu Langat kepada 9,415 asnaf (RM4.4 juta) dan Kuala Selangor kepada 6,979 asnaf (RM3.2 juta), Gombak dengan 6,775 asnaf (RM3.2 juta) dan Hulu Selangor kepada 5,445 orang (RM2.5 juta).

"Tiga daerah lain diikuti Sabak Bernam dengan 4,956 asnaf (RM2.2 juta) diikuti Kuala Langat dengan 4,708 (RM2.2 juta) dan Sepang dengan 2,999 penerima ( RM1.4 juta)," katanya pada simbolik penyerahan bantuan berkenaan di Dewan Besar Kolej Vokasional Gombak pada Selasa.

Majlis disempurnakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Mohd Sabirin (tengah) bergambar bersama penerima.
Mohd Sabirin (tengah) bergambar bersama penerima.

Beliau berkata, setiap keluarga akan menerima bantuan antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan sesebuah keluarga yang akan disalurkan melalui akaun bank atau baucar tunai tunai serta serahan tunai.

Katanya, penerima bantuan yang layak akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau surat dan semakan status bantuan boleh dibuat di ezo.zakatselangor.com.my.

Tambah beliau, pada bulan Februari lalu, LZS turut menyalurkan peruntukan zakat sebanyak RM32.6 juta bagi membiayai persiapan persekolahan kepada 67,798 anak asnaf fakir, miskin dan mualaf sesi persekolahan 2023.

Pada perkembangan sama, beliau memaklumkan, LZS menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM1.2 bilion pada tahun ini.