P-hailing: Pinda RUU turunkan had umur kepada 18 tahun

Program Town Hall Rakyat bersama Anthony Loke yang dihoskan oleh Azhar Sulaiman di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Program Town Hall Rakyat bersama Anthony Loke yang dihoskan oleh Azhar Sulaiman di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan meminda rang undang-undang (RUU) untuk menurunkan had umur penunggang p-hailing daripada 21 tahun ketika ini kepada 18 tahun.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, apabila ia diluluskan di peringkat Parlimen, pihaknya akan membuat satu peraturan baharu bagi mengawal selia sektor tersebut.

"Kita akan pinda undang-undang untuk turunkan umur penunggang dari 21 ke 18 bagi memiliki lesen memandu vokasional (GDL).

"Kita faham ada beberapa perkara yang membimbangkan mereka namun saya berjanji akan memudahkan segala proses urusan untuk tujuan tersebut," katanya ketika sesi soal jawab bersama penonton ketika Program Town Hall Rakyat.

Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh pelakon, Azhar Sulaiman itu merupakan platform interaktif untuk rakyat bersemuka dan bertanya pelbagai isu kepada pemimpin yang diundang.

Program yang berlangsung pada jam 8.30 malam tadi turut dihadiri antaranya oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim dan Pengarah Urusan Malaysia Airport Holdings Berhad, Datuk Iskandar Mizal Mahmood.

Turut hadir, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.