Larang imam luar negara, Selangor utamakan imam tempatan

Keputusan tidak benarkan imam jemputan solat tarawih luar negara di masjid dan surau di seluruh Selangor pada Ramadan telah ditetapkan MAIS sejak 2015. Gambar kecil: Mohd Shahzihan
Keputusan tidak benarkan imam jemputan solat tarawih luar negara di masjid dan surau di seluruh Selangor pada Ramadan telah ditetapkan MAIS sejak 2015. Gambar kecil: Mohd Shahzihan
A
A
A

SHAH ALAM - Larangan menjemput imam luar negara bagi solat tarawih di masjid dan surau seluruh Selangor memberi laluan kepada imam tempatan, asatizah, graduan serta pelajar tahfiz tempatan yang berkelayakan menggalas tugas tersebut sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, keputusan untuk tidak membenarkan imam jemputan solat tarawih luar negara di masjid dan surau di seluruh Selangor pada Ramadan 2023M/1444H telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sejak tahun 2015.

Mohd Shahzihan berkata, jemputan imam luar negara telah menimbulkan beberapa isu yang menjadi antara punca ketetapan larangan itu dibuat.

"Ia dapat mengatasi isu segelintir individu atau pihak yang menjadi perantara dengan menawarkan imam luar negara dengan kadar bayaran tertentu dan menyebabkan peminggiran imam sedia ada, imam tempatan dan para huffaz di Selangor.

"Kehadiran imam luar negara turut menimbulkan beberapa isu melibatkan perbezaan mazhab dalam pelaksanaan solat dan mengambil kesempatan mengutip derma yang tidak mendapat kebenaran di bawah Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016, " katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau menjelaskan, keputusan itu juga selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media berhubung larangan menggunakan khidmat imam luar negara bagi solat tarawih pada Ramadan ini.

Laporan menyebut, pentadbir masjid, surau dan musolla di Selangor perlu menggunakan khidmat imam lantikan MAIS bagi tujuan itu.

Mohd Shahzihan berkata, penglibatan anak tempatan dan pelajar lepasan pendidikan JAIS sebagai imam solat tarawih dapat dijadikan medium latihan, pengukuhan, keyakinan dan 'outreach' para huffaz bersama masyarakat.

"Ia juga usaha ke arah menyediakan imam-imam pelapis untuk mengisi keperluan imam di masjid dan surau di negeri Selangor pada masa hadapan," katanya.

Dalam masa sama katanya, JAIS sentiasa bekerjasama rapat dengan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) dalam menyediakan para huffaz untuk menjadi imam solat tarawih.

Justeru katanya, pihak masjid dan surau boleh menghubungi Bahagian Pendidikan Islam (BPI) JAIS untuk mendapatkan nasihat dan panduan mengenai perkara berkenaan.