Kes buang bayi dah tak bermusim lagi!

Muka depan akhbar Sinar Harian, hari ini. Gambar kecil, Hazwani.
Muka depan akhbar Sinar Harian, hari ini. Gambar kecil, Hazwani.
A
A
A

SHAH ALAM - Trend kes pembuangan bayi mutakhir ini dikatakan sudah tidak bermusim seperti sebelum ini.

Pengurus Rumah Puteri Arafiah yang menjaga remaja perempuan terlanjur, Hazwani Husna Azman berkata, hari ini, bila-bila saja kita boleh dengar berlaku kes pembuangan bayi.

“Dahulu trend masa pembuangan bayi kita boleh baca, sembilan bulan selepas ambang tahun baharu, sembilan bulan selepas 31 Ogos atau perayaan-perayaan besar yang lain, tetapi sekarang tidak ada dah, setiap masa berlaku,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, pelajar kolej dan universiti dalam lingkungan usia 18 hingga 23 tahun didakwa menjadi penyumbang utama kepada kes pembuangan bayi.

Menurutnya, anak-anak remaja seusia itu cenderung melakukan hubungan seks apabila mendapat kebebasan dan keluar daripada jagaan keluarga.

“Kelompok usia antara 18 hingga 23 tahun ini memang paling ramai terjebak dalam kancah seks, maklumlah baru keluar dari rumah dan jagaan keluarga apabila berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat kolej atau universiti,” katanya.

Beliau berkata, punca utama yang mendorong remaja seusia itu terjebak dalam kancah seks bebas adalah gajet melalui aplikasi perbualan, laman sosial, ketagihan pornografi dan persekitaran di rumah melibatkan pergaulan ahli-ahli keluarga yang diwarisi.

Sementara itu, Hazwani turut mendedahkan kebanyakan kes pembuangan bayi disebabkan oleh remaja ini panik selepas bersalin.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, keadaan itu membuatkan mereka bertindak membuang bayi dan meninggalkan anak yang baru dilahirkan di tempat yang tidak sepatutnya.

“Jika hantar ke pusat jagaan bayi seperti baby hatch, nama ibu mesti didaftarkan. Jadi bagi menjaga aib dan maruah, mereka bertindak singkat dengan meninggalkan bayi mereka di mana-mana sahaja, bukannya di tempat yang sepatutnya tanpa perikemanusiaan.

“Kebanyakan mereka hendak menjaga maruah sendiri tanpa memikirkan nasib dan masa depan bayi. Mereka bersalin dan terus tinggalkan bayi, ia memudahkan mereka menyembunyikan kelahiran tanpa rekod dan tidak diketahui orang,” katanya.

Bagaimanapun, Hazwani tidak menolak berkemungkinan remaja terlanjur ini tidak didedahkan dengan maklumat kewujudan rumah penjagaan bayi membuatkan mereka bertindak melulu sehingga membahayakan nyawa bayi yang ditinggalkan itu sendiri.