Jururawat rugi RM4,200 ditipu kenalan IG

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

MIRI - Seorang jururawat wanita di sini kerugian RM4,200 ditipu lelaki dari Amerika Syarikat yang hanya dikenali melalui Instagram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, wanita berusia 27 tahun itu mula mengenali lelaki warga Amerika yang memperkenalkan diri sebagai Jackson melalui Instagram awal bulan ini sebelum berhubung menerusi aplikasi Whatsapp.

“Lelaki itu dikatakan meminta pertolongan daripada wanita berkenaan untuk menyimpan wang miliknya sebanyak ASD20,000, namun pada mulanya wanita itu enggan berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata selepas dipujuk wanita itu akur dan berjanji untuk membantu lelaki berkenaan dan Ahad lepas lelaki itu menghubunginya untuk memberitahu wang sudahpun dikirim melalui seorang rakan bernama Michael.

“Lelaki berkenaan mendakwa wang itu ditahan Kastam di Kuala Lumpur dan untuk melepaskannya, wanita itu diminta memasukkan RM4,200 ke akaun sebuah syarikat,” katanya.

Beliau berkata selepas membuat pemindahan wang melalui talian (online) ke dua akaun, wanita itu baru menyedari yang ia adalah satu penipuan, dan membuat laporan polis semalam.

Untuk kes kedua membabitkan Parcel Scam, Mustafa Kamal berkata seorang lelaki yang bekerja sebagai buruh am berusia 40 tahun di Bintulu kerugian RM2,950 ditipu seorang wanita bernama Hanna M yang dikenali menerusi laman media sosial.

“Pada Isnin lalu lelaki itu diberitahu Hanna M mengirim IPhone 7plus, Samsung Tab, jam tangan, minyak wangi, bunga dan wang 10,000 Pound Sterling,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata lelaki itu menerima panggilan telefon semalam daripada seorang wanita bernama Syafiqah kononnya daripada pihak Kargo Subang Jaya, meminta lelaki berkenaan membayar RM2,950, kononnya bayaran cukai.

“Lelaki itu memasukkan RM2,950 ke satu akaun bank seperti yang diarahkan perempuan itu dan sekali lagi dia (kemudiannya) dihubungi oleh wanita sama meminta RM5,270 lagi,” katanya sambil menambah lelaki itu enggan berbuat demikian dan terus membuat laporan polis semalam.- Bernama