Terus angkut barang niaga, Exco tegur PBT beri nasihat dulu

Mohd Jafni pada sidang DUN Johor di Kota Iskandar pada Isnin.
Mohd Jafni pada sidang DUN Johor di Kota Iskandar pada Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri menegur sikap anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang didakwa tidak mengambil sikap ihsan terhadap pengusaha kecil dan sederhana (PKS) dan penjaja.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, aduan mengenai tindakan penguatkuasaan kerap diterima.

"Saya menerima aduan daripada peniaga kecil di tepi-tepi jalan, ada yang sudah berniaga di kawasan tersebut selama 10 tahun tanpa mempunyai permit.

"Tetapi satu hari penguat kuasa PBT datang terus angkut barang perniagaan mereka, saya rasa tindakan lebih sesuai adalah memberi nasihat terlebih dahulu sebelum tindakan tegas lain diambil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini pada Isnin.

Sebelum itu, Datuk Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) bertanyakan soalan mengenai tindakan kerajaan terhadap peniaga tidak berlesen khususnya di Kota Iskandar.

Mohd Jafni menambah, tindakan penguatkuasaan tidak salah namun perlu dilaksana dengan ihsan dan bertanggungjawab.

"Ramai yang berniaga secara kecil-kecilan selepas kehilangan kerja semasa tempoh pandemik Covid-19 lalu.

"Sekiranya mereka tidak berniaga kecil-kecilan, adakah kerajaan mampu menyediakan RM1,500 sebulan sebagai pendapatan minimum golongan berkenaan?" soalnya.

Beliau memberitahu, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah melaksana dan menyelaras beberapa penempatan penjaja dengan mengambil kira faktor kesesuaian dan keselamatan antaranya di Taman Seri Orkid, Taman Universiti, Taman Perling, Taman Teknologi dan Taman Nusantara.