Gantung pengadil bukti FAM tegas

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman penggantungan serta-merta terhadap pengadil, Zulkarnain Zakaria membuktikan ketegasan badan induk itu dalam soal pengadilan di Liga Malaysia (Liga-M).

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, peminat bola sepak tempatan juga boleh melihat dengan jelas langkah proaktif FAM sekali gus cuba sedaya upaya meningkatkan mutu pengadilan di negara ini.

"Kita lihat di mana-mana liga bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia, ia akan menjadi topik besar apabila melibatkan isu kesilapan daripada pengadil.

"Pengumuman FAM untuk mengenakan hukuman gantung kepada pengadil adalah langkah proaktif dipamerkan oleh FAM sendiri sebelum apa-apa laporan atau aduan daripada pasukan.

Stuart (kiri) dan dan Ketua Sime Darby Oils Profesional, Rahimi Abdullah ketika majlis mengumumkan kolaborasi antara MFL dan minyak masak Alif sebagai penaja Liga Malaysia untuk musim kedua berturut turut.
Stuart (kiri) dan dan Ketua Sime Darby Oils Profesional, Rahimi Abdullah ketika majlis mengumumkan kolaborasi antara MFL dan minyak masak Alif sebagai penaja Liga Malaysia untuk musim kedua berturut turut.

"Saya rasa ia satu tindakan yang bagus oleh FAM untuk memastikan komuniti bola sepak tempatan melihat sendiri tindakan proaktif yang telah dilakukan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Penajaan antara MFL dan jenama minyak masak, Alif di Petaling Jaya pada Isnin.

Pada Ahad, FAM mengenakan hukuman penggantungan serta-merta terhadap pengadil, Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ia selepas Zulkarnain didapati terkhilaf dalam menginterpretasi dua situasi pemberian sepakan penalti ketika perlawanan Liga Super antara Sabah dan Penang di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat.

Dalam masa sama, Stuart menjelaskan, pihaknya akan terus bekerjasama dengan FAM untuk memastikan sebarang isu mengenai mutu pengadilan dapat diminimumkan.

"Pengadil sentiasa menjadi topik hangat di Malaysia. Jika penyerang terlepas peluang, mereka boleh ambil peluang itu pada perlawanan seterusnya tetapi bagi pengadil, tidak boleh berlaku kesilapan.

"FAM juga ambil perkara ini dengan serius dan MFL selalu berunding bersama FAM untuk memastikan pengendalian perlawanan oleh pengadil lantikan FAM berlaku dengan kredibiliti dan juga kesempurnaan yang diminta oleh komuniti bola sepak.

"FAM dan MFL akan sentiasa bekerjasama untuk menambah baik isu ini," katanya.