Banjir: RM168 juta diperlukan baiki jalan, cerun runtuh

Mohamad Fazli
Mohamad Fazli
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sebanyak RM168 juta diperlukan bagi membaiki jalan dan cerun runtuh akibat banjir negeri ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, antara lokasi cerun runtuh yang dikenalpasti ialah Jalan Ulu Tiram dekat Felda Ulu Tebrau dan laluan Felda Chemplak Segamat.

Katanya, bagi kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) pula, terdapat 36 lokasi cerun runtuh dilaporkan.

"Pembaikan cerun runtuh memerlukan kajian teknikal sebelum sebarang kerja-kerja dilakukan. Selain itu, struktur tanah juga perlu dipastikan kukuh, benar-benar kering tiada air di permukaan jalan.

"Disebabkan itu, kerja-kerja pembaikan cerun memakan masa yang agak panjang sekurang-kurangnya tujuh bulan," katanya pada sidang akhbar di persidangan DUN Johor di Kota Iskandar pada Isnin.

Mohamad Fazli memberitahu kerajaan negeri telah menghantar permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi mendapatkan peruntukan supaya kerja-kerja pembaikan cerun dan jalan dapat dilaksanakan segera.

"Peruntukkan RM168 juta dijangka meningkat kerana masih banyak kawasan terjejas banjir terutama di Batu Pahat yang masih belum pulih sepenuhnya.

"Kerajaan negeri berharap kerajaan Persekutuan dapat menyalurkan segera peruntukkan yang dimohon Johor," katanya.

Pada 6 Mac lalu, lebih 50 kerosakan jalan raya dikenal pasti berlaku akibat bencana banjir melibatkan lapan daerah yang terjejas teruk di negeri ini.

Kerosakan itu melibatkan jalan-jalan utama di daerah Segamat, Mersing, Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Kluang.