Anwar hadir ke Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan

Anwar dilihat tiba di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) bagi menghadiri Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali kedua pada Ahad.
Anwar dilihat tiba di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) bagi menghadiri Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali kedua pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tiba di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) bagi menghadiri Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali kedua pada Ahad.

Selain itu, beberapa pemimpin utama Kerajaan Perpaduan turut tiba antaranya Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ia diikuti dengan kehadiran Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub; Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Difahamkan mesyuarat yang dipengerusikan Anwar itu akan bermula pada jam 8 malam dan dijangka membincangkan beberapa perkara termasuk mengenai strategi Kerajaan Perpaduan dan manifesto bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Petugas media telah berada di pekarangan lobi Menara Dato' Onn sejak jam 7 malam bagi membuat liputan mengenai mesyuarat berkenaan.

Pada Sabtu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan BN pada Ahad tidak akan membincangkan mengenai pembahagian kerusi bagi PRN di enam negeri.

Mohamad berkata, sebaliknya agenda utama yang akan dibincangkan ialah mengenai strategi Kerajaan Perpaduan dan manifesto bagi menghadapi PRN nanti.

Sebelum ini media melaporkan dalam perjumpaan Sekretariat Perpaduan pada Ahad akan membentangkan laporan pertama rundingan semua parti dalam kerajaan bagi menghadapi PRN di enam negeri.

Saifuddin Nasution yang juga Ketua Setiausaha PH berkata, soal perundingan agihan kerusi untuk enam negeri antara agenda yang akan dibincangkan.

Pada 7 Februari lepas, Anwar hadir mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali pertama di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato' Onn.

Mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia itu bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa melibatkan semua parti dalam kerajaan.

Anwar memaklumkan, jawatankuasa tersebut adalah Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.