10 suspek pukul lelaki hingga maut ditahan

10 suspek pukul lelaki hingga maut ditahan
10 suspek pukul lelaki hingga maut ditahan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 10 lelaki termasuk dua warga asing ditahan dipercayai memukul seorang lelaki tempatan sehingga maut dalam kejadian di Kompleks Metro Pudu di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 5 pagi hingga 7 pagi.

"Mangsa dipercayai dipukul sekumpulan lelaki sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian kepala.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada penangkapan 10 suspek dipercayai terlibat dalam kejadian oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju dan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur.

"Operasi yang dijalankan antara jam 10.30 malam hingga jam 12.15 malam itu kemudian berjaya memberkas kesemua suspek terdiri daripada dua lelaki warga asing dan lapan lelaki warga tempatan.

"Kesemua suspek berumur antara 23 tahun hingga 43 itu diberkas di sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Ashari berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan perselisihan faham.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.