MOSTI sasar bina 10 lagi Ruang Daya Cipta tahun ini

Lih Kang (dua dari kiri) melihat kemudahan disediakan RDC di Manong yang merupakan pertama di Perak.
Lih Kang (dua dari kiri) melihat kemudahan disediakan RDC di Manong yang merupakan pertama di Perak.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merancang untuk membangunkan 10 lagi Ruang Daya Cipta (RDC) tahun ini membabitkan peruntukan hampir RM3 juta.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, sasaran dibuat selepas mendapat maklum balas positif daripada penduduk khususnya luar bandar yang menggunakan kemudahan disediakan di pusat berkenaan.

"Di seluruh Malaysia kita sudah ada 10 RDC, sasaran tahun ini kita cuba tambah 10 lagi atau lebih kerana peruntukan itu sudah ada, sekitar RM300,000 setiap satu.

"Cuma mungkin kali ini kita laksanakan melalui geran sepadan bersama kerajaan negeri atau wakil rakyat supaya lebih ramai dapat menikmati impak teknologi dan inovasi sains ini terutama dalam kalangan anak muda dan warga desa," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Manong dekat sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Tanjung Malim itu turut merasmikan pembukaan RDC di Manong yang merupakan pertama di Perak.

Selain Manong, MOSTI telah membangunkan RDC di Sabak Bernam (Selangor), Sandakan (Sabah), Langkawi (Kedah), Tumpat (Kelantan), Kuala Terengganu (Terengganu), Bera (Pahang), PKD Layang-Layang dan Kota Tinggi (Johor) serta Miri (Sarawak).

Lih Kang berkata, RDC yang dibangunkan melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) itu menggabungkan elemen automasi dan pembengkelan seperti bengkel mesin, kraftangan, peralatan mini studio dan sudut inovasi yang boleh digunakan secara percuma kepada orang awam.

Katanya, pembangunannya telah memberi manfaat kepada lebih 150,000 orang di seluruh negara.

"Masyarakat desa memang sangat-sangat teruja dengan wujudkan kemudahan ini di kawasan mereka.

"Ruang ini bukan semata-mata pameran sahaja, tetapi ada juga banyak program termasuk latihan untuk dron dan robotik, juga ditempatkan peralatan yang boleh digunakan bagi mereka yang menceburi perniagaan dalam talian," katanya.

Dalam lawatan itu, Lih Kang turut merasmikan Floraponic Farm Malaysia (FFM) di Manong iaitu sebuah tapak akuaponik berasaskan teknologi nano berskala besar selain menyaksikan perjanjian jual beli ladang kontrak antara peserta kontrak pemasaran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).