RM296.4 juta peruntukan baiki jalan di Johor

MOHAMAD FAZLI
MOHAMAD FAZLI
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sebanyak RM296.4 juta diperoleh daripada kerajaan Pusat bagi membaik pulih jalan persekutuan dan jalan di negeri ini pada tahun ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Salleh berkata, daripada jumlah itu, RM97.4 merupakan peruntukan bagi membaik pulih tiga jalan persekutuan.

Katanya, tiga jalan tersebut ialah jalan Mersing-Johor Bahru, jalan Batu Pahat-Johor Bahru-Muar dan jalan Pontian-Johor Bahru-Batu Pahat-Muar.

"Tiga jalan berkenaan tidak pernah diselenggara sejak empat tahun lalu kerana tiada kontrak yang diterima untuk berbuat demikian sehingga tahun lalu.

"Bagaimanapun keadaan itu berubah, di mana perjanjian dengan pihak pemaju dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dimeterai bagi mendapat peruntukan membaik pulih tiga jalan tersebut.

"Bagi jalan persekutuan lain yang mengalami kerosakan, ia masih menggunakan kontrak sedia ada bagi kerja membaik pulih," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail pada Ahad.

Mohamad Fazli berkata, bagi Lebuhraya Pasir Gudang, peruntukan sebanyak RM75 juta disalurkan kerajaan Persekutuan bagi kerja-kerja pelebaran jalan daripada empat lorong kepada enam lorong membabitkan jalan sejauh 7 kilometer.

"Kerja melebarkan jalan itu sudah bermula pada tahun lalu dan dijangka memakan masa 36 bulan untuk disiapkan," katanya.