UMNO Perak hantar senarai ahli sabotaj kepada Lembaga Disiplin

Saarani menyempurnakan Perasmian Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan di Ipoh pada Ahad.
Saarani menyempurnakan Perasmian Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan di Ipoh pada Ahad.
A
A
A

IPOH - UMNO Perak sudah menghantar lebih 50 individu untuk dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin parti kerana sabotaj pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kesemua individu tersebut merupakan ahli UMNO dari seluruh Perak.

Menurutnya, terdapat juga beberapa ahli UMNO yang sudah dipecat keahlian kerana tindakan tersebut.

"Saya ingat dari (UMNO bahagian) Larut ada 17 orang yang dipecat dan beberapa tempat lain memang ada yang dipecat.

"Yang lain kita tunggu sehingga jawatankuasa pengurusan parti mengumumkan siapa yang dipecat," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan di sini pada Ahad.

Saarani berkata, kesemua mereka yang disenaraikan itu secara terang-terangan membantu kempen parti lawan.

Menurutnya, jika terdapat ahli-ahli UMNO yang menjadi calon, penyokong atau pencadang parti lawan secara automatik keluar parti kerana itu sudah termaktub dalam perlembagaan parti.

Pada Sabtu, Saarani dalam ucapan ketika Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong mendedahkan tindakan sabotaj sesama sendiri dikenal pasti antara faktor utama kekalahan teruk UMNO di Perak dalam memenangi kerusi yang ditandingi pada PRU15 lalu.

Menurutnya, dapatan tersebut diperoleh menerusi laporan-laporan bedah siasat yang dilakukan apabila UMNO hanya mampu menguasai sembilan daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.