18 My Hero dilantik Duta Perpaduan

Tong Hum (empat dari kiri) melancarkan Anugerah My Hero 4.0.
Tong Hum (empat dari kiri) melancarkan Anugerah My Hero 4.0.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 18 wira dan wirawati My Hero daripada pelbagai kaum yang terpilih pada edisi 2014, 2016 dan 2018 telah dilantik sebagai Duta Perpaduan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, perkara itu bagi menghargai jasa dan sumbangan penerima anugerah My Hero berkenaan.

“Individu tersebut terdiri daripada wira tidak didendang dan tidak pernah menerima pengiktirafan daripada mana-mana pertubuhan atau individu.

“Mereka membantu, berkorban dan memberi sumbangan tanpa mengambil kira soal perbezaan darjat, kaum, agama dan budaya.

“Inilah semangat setia kawan dan perpaduan yang perlu diamalkan oleh seluruh lapisan rakyat negara ini agar keharmonian dan kesejahteraan terus terpelihara,” katanya di Majlis Pelancaran Anugerah My Hero 4.0 di Wisma Chinese Chamber, di sini pada Sabtu.

Tong Hung (depan, empat dari kiri) bergambar bersama tetamu pada majlis Anugerah MYHERO 4.0 di Wisma Chinese Chamber, Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto ROSLI TALIB
Tong Hung (depan, empat dari kiri) bergambar bersama tetamu pada majlis Anugerah MYHERO 4.0 di Wisma Chinese Chamber, Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto ROSLI TALIB

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dr Kang Tong Hum.

Program itu turut bekerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN), Kementerian Perpaduan Negara dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI).

Aaron berkata, Duta Perpaduan itu juga dilibatkan dalam program berkaitan perpaduan untuk memberi inspirasi sekali gus menyampaikan mesej serta nilai-nilai murni yang perlu diamalkan oleh seluruh rakyat terutama generasi muda dalam mengeratkan hubungan antara kaum.

Beliau turut menyifatkan program dikategorikan di bawah Kluster Program Semarak Perpaduan itu merupakan kolaborasi yang bertepatan dengan nilai-nilai Malaysia Madani.

“Semoga penganjuran program My Hero ini akan mengukuhkan lagi hubungan kita sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai asas pembentukan negara,” katanya.

Sementara itu, Presiden KLSCCCI, Datuk Ng Yih Pyng memaklumkan, anugerah berkenaan dilakukan dua tahun sekali namun pada tahun 2020, ia ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

“Jadi, ia diteruskan semula tahun ini untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada individu yang berjasa kepada masyarakat,” katanya.

Orang ramai boleh mengemukakan pencalonan bagi penerima Anugerah My Hero 4.0 di https://myhero.chinesechamber.org.my dan tarikh tutup pencalonan pada 30 April depan.