Pemilihan UMNO: Azlan Man, Mohamad Ali gagal pertahan jawatan

Fathul Bari (kiri) berjaya memperoleh 368 undi, untuk mengatasi Azlan yang hanya memperoleh 179 undi.
Fathul Bari (kiri) berjaya memperoleh 368 undi, untuk mengatasi Azlan yang hanya memperoleh 179 undi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kangar, yang disandangnya sejak 2014 pada saingan Pemilihan UMNO yang berakhir pada Sabtu

Pengerusi UMNO Perlis itu, tewas kepada bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Fathul Bari yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kangar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lepas berjaya memperoleh 368 undi, untuk mengatasi Azlan yang hanya memperoleh 179 undi.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian serta Ahli MT bagi penggal 2023-2026 yang berakhir Sabtu, melibatkan 189 daripada keseluruhan 191 bahagian di seluruh negara.

Ketika ini keputusan penuh masih belum diumumkan.

Sementara itu di Melaka, Persidangan Perwakilan Bahagian Tangga Batu turut menyaksikan kejutan apabila penyandang Ketua UMNO Bahagian yang juga Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, tewas tipis dengan empat undi kepada Datuk Rais Yasin.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, melakar kemenangan apabila memperoleh 282 undi berbanding Mohamad Ali yang mendapat 278 undi.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal Saleh yang pada Sabtu lepas menang jawatan Ketua Pemuda UMNO, diumumkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Jasin yang baharu.

Berdepan saingan empat penjuru, ADUN Merlimau itu juga melakar sejarah apabila menjadi pemimpin paling muda pada usia 35 tahun memegang jawatan tersebut, selepas menewaskan penyandangnya Datuk Hasan Rahman dengan meraih 340 undi berbanding 194 undi.

Dua lagi calon yang tewas adalah ADUN Serkam yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan (151 undi) dan bekas Bendahari Bahagian, Datuk Mohd Yusof Osman (21 undi).

Sementara itu di Kedah, seramai lima muka baharu mengetuai lima daripada 15 bahagian UMNO dengan jawatan Ketua UMNO Bahagian Langkawi dimenangi anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd Nazifuddin dengan majoriti 12 undi.

Setiausaha UMNO negeri, Datuk Ariffin Man dalam sidang akhbar pada Ahad berkata, Mohd Nazifuddin juga merupakan ketua UMNO bahagian termuda di negeri itu pada usia 39 tahun.

Beliau berkata, bahagian lain yang dimenangi muka baharu ialah Kubang Pasu oleh Datuk Aminuddin Omar, Kuala Kedah (Datuk Mutalib Harun), Sik (Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim) dan Merbok (Datuk Saiful Hazizy Zainol Abidin).

Sementara Bahagian Alor Setar dimenangi bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang membuat kemunculan semula selepas meninggalkan jawatan yang pernah disandangnya itu pada 2018.

Ariffin berkata, seramai sembilan penyandang Ketua UMNO Bahagian berjaya mempertahankan jawatan masing-masing termasuk bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menang tanpa bertanding di Padang Terap, Ahli MT UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling) dan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai).

Di JOHOR BAHRU, sebanyak 11 bahagian UMNO di Johor diterajui ketua bahagian baharu selepas 25 daripada 26 bahagian selesai mengadakan pemilihan masing-masing.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, bahagian yang diterajui ketua bahagian baharu ialah Batu Pahat iaitu Zaidi Japar yang menewaskan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Pontian (Datuk Seri Ahmad Maslan); Tanjung Piai (Md Israk Abdullah); Tebrau (Datuk Abdul Halim Sulaiman); Sembrong (Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid) dan Simpang Renggam (Datuk Onn Hafiz Ghazi).

"Lima lagi ketua bahagian baharu ialah Sri Gading (Datuk Mohd Lassim Burhan), Muar (Datuk Ashari Md Sarip), Bakri (Azman Ismail), Ledang (Datuk Rahim Talib) dan Sekijang (Datuk Baharum Mohamed)," katanya.

Beliau berkata, pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru pula digantung berikutan lebihan kertas undi berbanding perwakilan dengan tarikh pemilihan akan diumumkan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Pusat. - Bernama