Pemilihan UMNO: Saingan Naib Presiden makin sengit

Keputusan semasa Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 bagi jawatan Naib Presiden pada Sabtu.
Keputusan semasa Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 bagi jawatan Naib Presiden pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persaingan bagi merebut tiga jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti bagi sesi 2023-2026 dilihat semakin sengit ketika ini.

Keputusan tidak rasmi yang dipaparkan menerusi papan markah di Auditorium Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) menyaksikan lapan calon yang bertanding bertukar-tukar kedudukan bagi tiga tangga teratas.

Bagaimanapun, Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilihat berada dalam kedudukan agak selesa ketika ini dengan mendahului sebanyak 31 undi setakat jam 8.20 malam.

Di tangga kedua, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga penyandang jawatan itu cuba mengejar dengan 26 undi.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berada di kedudukan ketiga dengan menerima 19 undi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang berada di kedudukan ketiga kira-kira empat jam lalu, kini menduduki tempat keempat dengan 13 undi.

Turut berkongsi undi sama dengan Azalina, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Dua calon lain, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad memperoleh lapan undi, diikuti Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tujuh undi).

Sehingga jam 8.20 malam, sebanyak 35 bahagian daripada 189 bahagian UMNO yang bersidang pada Sabtu sudah memuktamadkan keputusannya.