[VIDEO] 'Saya tak sanggup zalimi, fitnah orang' - Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak sanggup untuk menzalimi dan menfitnah mana-mana pihak termasuk pemimpin pembangkang yang terpalit dengan siasatan pihak berkuasa dan pertuduhan di mahkamah.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, ini berikutan beliau pernah melalui pengalaman getir sekali gus mahu menjadikan kejadian itu sebagai pengajaran buat semua.

Walaubagaimanapun Anwar mengulangi pendiriannya untuk terus menentang gejala rasuah dan merompak kekayaan negara yang berlaku dalam kerajaan terdahulu.

"Saya mahu pastikan dana itu tidak boleh dicuri dan diambil terus. Apa yang mereka bawa, satu khianat, tuduhan palsu. Saudara, saya tak sanggup buat khianat, tidak sanggup fitnah orang kerana saya pernah lalui (keadaan) getir dan sangat sukar.

"Saya mahu diumur sebegini dengan kepayahan yang berlaku itu, sebagai peringatan dan pengajaran untuk memastikan tidak ada kezaliman kepada sesiapa termasuk tokoh-tokoh pembangkang.

"Tetapi jangan cari alasan dan guna alasan seolah-olah pembangkang tidak boleh didakwa (ke mahkamah) kerana apa yang disiasat sesuatu yang mengejutkan. Namun itu urusan di mahkamah nanti," katanya pada sesi penggulungan Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Stadium Melawati pada Sabtu.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, siasatan yang dijalankan masa ini merupakan kes daripada dokumen yang disemak dari Kementerian Kewangan (MoF).

Beliau berkata, tatakelola menerusi fail-fail yang disemak mendapati wujud kecelaruan dan tidak ikut peraturan sewajarnya.

“Apabila kita mengambil alih (kerajaan), saya bukan nak menidakkan dan mengatakan bahawa semua yang dilakukan dahulu itu rosak, ada cadangan yang baik, ada tokoh yang bersih, tetapi sitem itu rosak.

“Kerugian dan ketirisan itu terlalu banyak, bukan sahaja 1MDB (1Malaysia Developement Berhad), (tetapi) banyak. Orang tanya, mengapa dahulu tidak didawa, sekarang didakwa. Bila diberi mandat, saya beri arahan bukan untuk dakwa sesiapa, saya kata SPRM peguam negara, badan kehakiman, harus kembali bebas sebagai institusi yang berintegriti.

“Jangan melindungi perasuah kerana negara kita sudah rosak, rakyat sepatutnya dapat pembelaan dan negara boleh dipacu lebih hebat. Tetapi kerana penyakit ini yang menjadi sistem, menyebabkan semua rosak,” ujarnya.