PDRM kekang hasrat Kelantan United

Pasukan PDRM berjaya meraih kemenangan kedua dalam aksi Liga Super. -Foto PDRM FC
Pasukan PDRM berjaya meraih kemenangan kedua dalam aksi Liga Super. -Foto PDRM FC
A
A
A

HASRAT Kelantan United FC untuk meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini tidak kesampaian selepas tewas kepada PDRM FC 0-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Sabtu.

Kedua-dua pasukan agak bergelut pada separuh masa pertama apabila terpaksa beraksi di atas padang becak susulan keadaan hujan lebat sebaik perlawanan bermula.

Gol pertama PDRM hadir pada minit ke-10 menerusi Dzulfahmi Ab Hadi yang merembat kencang menewaskan penjaga gol Kelantan United, Asyraaf Omar.

Kelantan United cuba bangkit mengatur gerakan dan berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-30 menerusi rembatan daripada luar kotak penalti Morgaro Gomis, namun percubaannya terkena pemain pertahanan PDRM.

Ketika pasukan pantai timur itu agresif menyerang, PDRM melancarkan serangan balas melalui Uche yang kemudiannya dikasari penjaga gol Kelantan United, Asyraaf Omar di dalam kotak penalti.

Pengadil tidak teragak-agak untuk memberikan penalti kepada PDRM dan Uche tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk memastikan pasukannya selesa dua gol di hadapan.

Bersambung separuh masa kedua, skuad Sang Saka Biru hampir menambah jaringan pada minit ke-47 namun, percubaan daripada Marcus Macauley yang menyambut hantaran Uche diselamatkan oleh Asyraaf.

Kelantan United juga mempunyai beberapa peluang, namun gagal disudahkan dengan baik menyaksikan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan meletakkan PDRM di kedudukan keenam liga dengan dua kemenangan,satu seri dan dua kekalahan.

Manakala, Kelantan United berada di kedudukan terakhir liga dengan hanya satu mata menerusi satu keputusan seri dan empat kekalahan.