BN sebahagian kerajaan Selangor bukti keterbukaan PH - Ahmad Zahid

Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk. - Foto Bernama
Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk. - Foto Bernama
A
A
A

BAGAN DATUK - Keputusan menerima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan BN sebagai sebahagian kerajaan Selangor menunjukkan sifat keterbukaan Pakatan Harapan (PH) negeri itu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia selaras dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

"Keterbukaan PH Selangor amat dialu-alukan sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan ini dan membentuk kerajaan lebih padu di Selangor.

"Pembentukan kerajaan negeri itu yang melibatkan ADUN-ADUN BN adalah satu realiti baharu," katanya ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini pada Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa ADUN UMNO dan BN adalah sebahagian daripada kerajaan Selangor sehingga tamat tempoh penggal pentadbiran kerajaan negeri yang akan berakhir Jun ini, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan bahawa Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan mengadakan mesyuarat kali kedua pada Ahad berhubung penyelarasan melibatkan parti dalam kerajaan.

"Sebanyak 20 parti politik yang bergabung dalam kerajaan akan mengadakan mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita akan mengambil beberapa keputusan terhadap langkah-langkah menghadapi PRN (pilihan raya negeri) dan juga dari segi jangka panjangnya menyusun beberapa langkah taktikal dan strategi untuk kita lakukan operasi politik dalam tempoh sederhana dan jangka panjang bagi menghadapi PRU (pilihan raya umum)," katanya.

Pada 7 Februari lalu, media melaporkan Anwar mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik bagi merangka strategi menghadapi PRN pada mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan.