Menang pemilihan UMNO bukan tiket jadi calon PRN

Jalaluddin membuang undi ketika pemilihan UMNO Bahagian Jelebu.
Jalaluddin membuang undi ketika pemilihan UMNO Bahagian Jelebu.
A
A
A

JELEBU - Kemenangan dalam pemilihan UMNO di peringkat bahagian bukan tiket untuk menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pemilihan berkenaan bukan bertujuan mencari calon sebaliknya bagi memastikan pemimpin yang dilantik dapat berkhidmat kepada parti dan rakyat.

"Adalah tidak wajar mereka yang menang pasang cita-cita mahu menjadi calon PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pun sebelum ini telah nyatakan mereka yang menang dalam pemilihan ini tidak semestinya menjadi calon.

"Komitmen kepada UMNO perlu diutamakan terlebih dahulu berbanding mengharap untuk menjadi calon PRN," katanya kepada media ketika ditemui di Kompleks UMNO Jelebu di sini pada Sabtu.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu mengekalkan jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Jelebu selepas menang tanpa bertanding.

Dua jawatan utama lain iaitu Timbalan Ketua Bahagian dan Naib Ketua Bahagian yang masing-masing disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali dan ADUN Pertang, Noor Azmi Yusof berdepan pertandingan tiga dan dua penjuru.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan calon yang menang pada pemilihan kali ini.

Jelasnya, kesepakatan dan kemuafakatan demi perjuangan UMNO adalah amat penting sekali gus mengelakkan wujud perpecahan kerana tiada persefahaman.