Sultan Johor hargai peruntukan tambahan pasca banjir

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas kelulusan peruntukan tambahan RM150 juta bagi usaha pemulihan meliputi program dan projek pasca banjir khususnya di negeri ini.

Baginda turut menghargai bantuan serta sumbangan pelbagai pihak termasuk industri serta individu dalam membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan di atas kelulusan peruntukan tambahan ini.

“Bencana banjir yang melanda Johor baru-baru ini telah mengakibatkan pelbagai kerosakan khususnya melibatkan infrastruktur awam.

"Peruntukan tambahan ini boleh digunakan sebaik mungkin untuk program serta projek pasca banjir,” titah baginda dalam kenyataan di muat naik di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peruntukan tambahan itu diluluskan Kementerian Kewangan (MOF) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.