Budak hidap kanser tulang mahu jadi angkasawan

Muhammad Durrani (kiri) ketika membeli peralatan sekolah bersama ibu bapanya dalam Program Kembali ke Sekolah Empire di Aeon Mall, Kulai pada Sabtu.
Muhammad Durrani (kiri) ketika membeli peralatan sekolah bersama ibu bapanya dalam Program Kembali ke Sekolah Empire di Aeon Mall, Kulai pada Sabtu.
A
A
A

KULAI - Seorang kanak-kanak lelaki yang dipotong kaki pada tahun lalu akibat kanser tulang atau osteosarcoma tidak sabar kembali memulakan sesi persekolahan baharu pada Ahad selepas tiga tahun tidak dapat hadir seperti biasa.

Muhammad Durrani Faris Nor Arifin, 11, berkata, walaupun masih perlu menjalani rawatan dan pemeriksaan kesihatan dan kini menggunakan tongkat untuk berjalan, namun tidak menjadi halangan atau mematahkan semangatnya untuk belajar.

"Saya tamat menjalani rawatan kemoterapi pada tahun lalu dan berharap dapat bersekolah seperti biasa di sebuah sekolah di Mersing.

"Keluarga saya banyak memberi semangat terutama ayah dan ibu yang mahu melihat saya berjaya dan mencapai cita-cita menjadi angkasawan.

"Saya tidak sabar untuk kembali bersekolah pada Ahad ini dan bertemu dengan rakan-rakan," katanya ditemui selepas Program Kembali ke Sekolah Empire anjuran Empire Project di Aeon Mall di sini pada Sabtu.

Anak kedua daripada lima beradik itu kehilangan kaki kiri selepas dipotong pada 3 Januari tahun lalu bagi membuang sebahagian tulang kakinya demi menyelamatkan nyawanya.

Muhammad Durrani Faris sebelum ini tidak dapat hadir ke sekolah sepenuhnya akibat penyakit dihidapinya itu.

Sementara itu, Nor Arifin Md Anuar, 36, bersyukur kerana anaknya menjadi antara penerima sumbangan kelengkapan persekolahan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.

Menurutnya, sumbangan seumpama itu dapat menceriakan kanak-kanak seperti anaknya yang terpaksa mengharungi pelbagai cabaran bagi melanjutkan pelajaran.

"Dia adalah seorang kanak-kanak yang kuat semangat, berkeyakinan diri dan tanpa paksaan, dia sendiri mahu ke sekolah.

"Kami sebagai ibu bapa sentiasa beri sokongan semangat dan mendidiknya seperti anak lain tanpa sebarang perbezaan.

"Kami sentiasa memfokus perkara yang baik dan membawanya ke tempat awam supaya dia dapat membuang rasa malu dan mesra dengan persekitaran," katanya.

Dalam pada itu, Pengasas Empire Project, Mohd Ashraff Khan Md Najib

berkata, seramai 8,000 kanak-kanak di seluruh negara terpilih bagi menerima baucar membeli-belah mahupun kelengkapan persekolahan.

Katanya, penerima terdiri daripada penghidap barah, anak pesakit barah selain golongan keluarga B40, Orang Asli dan di kawasan pedalaman.

"Kami berkoloborasi dengan beberapa NGO dan pada hari ini turut menerima penajaan daripada syarikat Agromate Holdings Sdn Bhd," katanya.