Warga tempatan sanggup jadi duri dalam daging

Jumlah warga asing bertambah di sesuatu lokasi berpunca daripada bantuan oleh warga tempatan.
Jumlah warga asing bertambah di sesuatu lokasi berpunca daripada bantuan oleh warga tempatan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbuatan menyewakan premis perniagaan kepada warga asing menyebabkan usaha untuk membersihkan Pasar Borong Kuala Lumpur daripada golongan tersebut terus gagal.

Konsep perniagaan secara 'ali baba' yang menyalahi undang-undang negara itu berpunca dari sikap tamak pemilik premis yang merupakan warga tempatan.

Lebih mengejutkan, kawasan tersebut turut dilindungi dan dipantau oleh warga tempatan yang berperanan sebagai tonto di sekitar pasar tersebut.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, dengan sokongan dan bantuan daripada penduduk tempatan itu juga menyebabkan warga asing di kawasan berkenaan semakin berani sehingga berniaga di kaki lima dan bahu jalan sekitar pasar tersebut.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin.

Tegas beliau, sikap segelintir warga tempatan yang dilihat membuka peluang kepada warga asing untuk terus bertapak menjejaskan usaha yang dijalankan pihak berkuasa.

“Apabila serbuan dilaksanakan, mereka akan terus melarikan diri dengan meninggalkan barangan niaga termasuklah sayur atau buah-buahan.

“Apabila ditahan, mereka akan kata datang ke sini untuk membeli barang atau pun sebagai pekerja di premis terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Operasi dipantau tonto

Tambah beliau, Imigresen Kuala Lumpur juga tidak menolak kemungkinan ada individu disyaki warga tempatan yang berperanan sebagai tonto bagi memantau operasi penguatkuasaan di sekitar pasar borong ini.

Anggota Jabatan Imigresen memeriksa dokumen warga asing menerusi operasi dijalankan.
Anggota Jabatan Imigresen memeriksa dokumen warga asing menerusi operasi dijalankan.

“Kami percaya wujudnya tonto berdasarkan beberapa siri operasi sebelum ini yang mana terdapat beberapa barangan jualan yang ditinggalkan dipercayai oleh peniaga warga asing.

“Tetapi, tonto ini tidaklah sampai ke tahap mengganggu kami menjalankan operasi. Setakat ini kita tidak berdepan dengan ancaman serius oleh tonto terbabit,” katanya.

Provokasi majikan

Bagaimanapun, pihaknya juga pernah berdepan dengan provokasi ketika menjalankan operasi.

Jelasnya, segelintir ada majikan yang mengambil pekerja asing beranggapan tugas yang dijalankan pihak berkuasa seolah-olah mengganggu urusan perniagaan mereka.

Kebanyakan PATI yang ditahan menafikan mereka bekerja di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur ini sebaliknya memberi alasan mereka datang untuk membeli barangan.
Kebanyakan PATI yang ditahan menafikan mereka bekerja di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur ini sebaliknya memberi alasan mereka datang untuk membeli barangan.

“Kebanyakan pekerja di sini terdiri daripada warga asing, jadi bila kita turun buat operasi dan periksa, adakalanya akan ada provokasi daripada majikan mereka. Kita tangani provokasi ini dengan sebaiknya dan menenangkan pihak terlibat dan ia akhirnya dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Menurut beliau, sepatutnya pihak majikan perlu memberi kerjasama sebaiknya dan tidak perlu timbulkan masalah sekiranya warga asing yang digajikan mempunyai dokumen yang sah kecuali bagi pelarian etnik Rohingya.

“Etnik Rohingya yang mempunyai Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak dibenarkan digajikan oleh majikan kerana status mereka adalah pelarian.

“Menerusi program pemutihan yang dijalankan kita sememangnya menggalakkan majikan untuk mendaftar pekerja mereka bagi mendapatkan dokumen yang sah bagi mengelakkan tindakan tegas diambil.

“Cuma bagi warga Rohingya, sememangnya mereka ini tidak dibenarkan. Dalam isu ini, pihak Imigresen amat serius memastikan tiada etnik Rohingya diambil sebagai pekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur ini,” katanya.

Selain itu, Syamsul Badrin berkata, terdapat segelintir warga tempatan menyewakan bilik dan rumah kepada warga asing di sekitar pasar borong ini sekali gus menjadikan antara faktor jumlah mereka semakin bertambah di sekitar kawasan tersebut.

“Bilik disewakan antara harga RM400 sehingga RM 700 kepada warga asing. Mereka tidak kisah, kalau 10 hingga 20 orang satu rumah pun mereka boleh tinggal.

Antara PATI yang ditahan menerusi operasi penguatkuasaan Imigresen di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di sini.
Antara PATI yang ditahan menerusi operasi penguatkuasaan Imigresen di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di sini.

“Operasi yang dilaksanakan sebelum ini dapati kediaman yang disewa warga asing ini amat teruk dan kotor. Ada rumah yang ditambah dengan ruangan tambahan untuk dijadikan bilik semata-mata mahu kaut untung,” ujarnya.

Tidak semua pendatang haramBagaimanapun, Syamsul Badrin berkata, berdasarkan statistik operasi yang dijalankan, tidak semua warga asing yang bekerja di pasar itu adalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kebanyakan mereka yang bekerja di kawasan itu adalah warga asing yang mempunyai dokumen sah membolehkan mereka untuk bekerja. Kadangkala tanggapan ramai menyatakan mereka ini semua adalah PATI adalah salah, ini yang harus kita perbetulkan,” katanya.

Namun, operasi secara berkala sentiasa dijalankan bagi memastikan tiada warga asing mengambil kesempatan berniaga secara haram.

“Operasi kami jalankan berdasarkan aduan yang diterima dan hasil risikan.

“Selain itu, operasi penguatkuasaan juga dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak menyalurkan maklumat mengenai isu ini kepada pihak imigresen atau agensi berkaitan dan tidak bertindak secara sendirian bagi mengelak sebarang risiko tidak diingini.

Ujarnya, mana-mana individu yang tidak berautoriti dilarang melaksanakan tindakan melulu kerana satu kesalahan di bawah peruntukan undang-undang.

Buah-buahan dan sayuran yang dijual secara haram oleh warga asing dirampas menerusi serbuan dijalankan pihak berkuasa.
Buah-buahan dan sayuran yang dijual secara haram oleh warga asing dirampas menerusi serbuan dijalankan pihak berkuasa.

“Kami sendiri apabila jalankan operasi, kita jalankan dengan jumlah anggota tertentu dan bukannya pergi seorang diri.

“Bayangkan seandainya perkara tidak diingini berlaku, siapa yang harus dipertanggungjawabkan? Sebaiknya datang kepada kami dan salurkan info dan maklumat untuk kami ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Menurut beliau, imigresen amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat sebagai mata dan telinga pihak berkuasa.

“Salurkan info terperinci, sahih dan tepat kepada kami dan biar kami jalankan tugas tersebut dengan sebaiknya,” katanya.

Tiada kompromi isu PATI

Tegas Syamsul Badrin, hukuman berat akan diambil terhadap majikan yang didapati melindungi dan mengajikan warga asing secara tidak sah.

“Melindungi PATI adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak melebihi RM50,000.

“Sekiranya individu atau organisasi berkenaan melindungi lebih daripada lima orang PATI, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara tidak kurang daripada enam bulan tetapi tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam kali,” kata beliau.

Jelasnya, majikan yang menggaji PATI pula boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap orang pekerja yang diambil.

Pihak berkuasa merampas barang yang ditinggalkan selepas
warga asing lari ketika serbuan.
Pihak berkuasa merampas barang yang ditinggalkan selepas warga asing lari ketika serbuan.

“Jika bilangan pekerja PATI berkenaan melebihi lima orang, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara tidak kurang enam bulan tetapi tidak lebih lima tahun serta boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam kali sebatan,” jelas beliau.

Tambah Syamsul Badri, majikan atau individu yang mengambil PATI untuk bekerja dikehendaki segera mendaftarkan mereka dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja atau Rekalibrasi Pulang yang telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023.