Steinbruckner puas hati aksi pemain TFC

Pemain Negeri Sembilan, Levy Madinda (tengah) merembat bola ke gawang TFC pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Khamis.
Pemain Negeri Sembilan, Levy Madinda (tengah) merembat bola ke gawang TFC pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Khamis.
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menegaskan pemain skuad Penyu telah memberikan persembahan terbaik sebelum tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Khamis.

Biarpun begitu, pengendali dari Croatia berusia 57 tahun itu mengakui pemain pelawat mempunyai beberapa peluang, namun gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan pada separuh masa pertama.

"Peluang dimiliki Liridon Krasniqi, Adisak Kraisorn, Sony Norde pada separuh masa pertama sebenarnya sudah boleh menentukan pemenang dalam perlawanan ini.

"Apabila Negeri Sembilan menjaringkan gol pendahuluan, pemain TFC bekerja keras dan berusaha untuk kembali semula ke dalam permainan.

"Saya berpuas hati kerana setiap pemain mempamerkan aksi terbaik untuk memenangi perlawanan ini tambahan pula bermain di laman lawan," katanya selepas perlawanan pada Khamis.

Pada perlawanan itu, skuad Rusa terlebih dulu di depan menerusi jaringan Levy Madinda pada minit ke-28 sebelum Adisak menyamakan kedudukan minit ke-47 separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, kedua-kedua pasukan tampil lebih agresif memburu gol, sebelum Casagrande muncul wira Negeri Sembilan kendalian K Devan apabila jaringan minit ke-67 memastikan tiga mata Hoben Jang Hoben.

Skuad Penyu kini mengumpul empat mata selepas mengharungi lima perlawanan dengan saingan liga berhenti sementara dua minggu bagi memberi laluan kepada aksi persahabatan Harimau Malaya menentang Turkmenistan dan Hong Kong.

Anak buah Steinbruckner akan menyingkap semula saingan liga berdepan Kelantan United FC di Stadium Sultan Zainal Abidin pada 31 Mac ini.