Seluruh England: Zii Jia tempah tiket separuh akhir

Zii Jia bakal berentap dengan Yu Qi dalam aksi separuh akhir Seluruh England pada Sabtu.
Zii Jia bakal berentap dengan Yu Qi dalam aksi separuh akhir Seluruh England pada Sabtu.
A
A
A

JAGUH perseorangan negara, Lee Zii Jia meneruskan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Badminton Seluruh England 2023 selepas menundukkan pemain Jepun, Kodai Naraoka sebentar tadi.

Pada saingan suku akhir yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham itu, Zii Jia merakamkan kemenangan 21-9, 10-21, 21-13 dalam masa lebih satu jam.

Kejayaan itu menyaksikan Zii Jia yang juga pemain keempat dunia berjaya mengulangi pencapaiannya pada edisi lalu yang mana dia turut mara ke peringkat separuh akhir.

Kemenangan ke atas Naraoka dianggap cukup manis buat Zii Jia apabila dia berjaya membalas dendam ke atas pemain ketujuh dunia itu yang menewaskannya pada pusingan pertama Terbuka Malaysia Januari lalu.

Dalam aksi separuh akhir esok, Zii Jia akan berdepan wakil China, Shi Yu Qi yang menundukkan rakan senegaranya, Weng Hong Yang 21-9, 21-16 dalam satu lagi pertemuan suku akhit.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong akan berhadapan dengan pemain China, Li Shi Feng yang dijadualkan berlangsung pada awal pagi nanti.

Pada Khamis, Tze Yong yang membuat penampilan sulung di pentas Seluruh England berjaya menyingkirkan penyandang juara yang juga pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen dalam aksi pusingan kedua.