Semakin ramai usahawan sertai inisiatif payung Rahmah

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A
KUALA LUMPUR - Inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus berkembang di seluruh negara dengan semakin ramai usahawan tempatan yang mengambil bahagian.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Szblooms antara syarikat tempatan yang menyertai inisiatif itu dengan melancarkan Jualan Rahmah pada Jumaat yang menawarkan produk barangan kelengkapan berjenama antarabangsa pada harga diskaun serendah RM49.90.

Beliau berkata, inisiatif Payung Rahmah itu merupakan manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang kerajaan kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan strategik yang terlibat.



"KPDN terus komited bagi memastikan seluruh warga Malaysia Madani dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan warga sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan cara memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna.

Salahuddin juga berharap agar usaha tersebut mampu menarik perhatian rakyat Malaysia, khususnya pengguna mendapatkan barangan pada harga murah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan jenama produk yang ditawarkan.

Pada Jumaat, Jualan Rahmah Szblooms di Bandar Puteri Bangi, Kajang menawarkan harga diskaun bagi barangan kelengkapan berjenama antarabangsa, selain rakan niaga sekitar premis itu turut melaksanakan Jualan Rahmah dan Menu Rahmah di premis masing-masing. - Bernama