Tempoh lesen hotel, agensi pelancongan dipanjangkan

Tiong King Sing. - Foto Sinar Harian RAFIQ REDZUAN
Tiong King Sing. - Foto Sinar Harian RAFIQ REDZUAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memutuskan untuk memanjangkan tempoh lesen agensi pelancongan, hotel dan spa.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, semua lesen hotel, agensi pelancongan dan spa akan dipanjangkan tempohnya dari tiga tahun ke lima tahun.

Menurutnya, semua pengusaha yang terlibat dalam aktiviti berkenaan tempoh hayat lesennya boleh dipanjangkan namun masih perlu mengikut syarat yang ditetapkan.

“Kalau tidak ikut syarat yang ditetapkan tempoh lesen tidak boleh dipanjangkan dan berkemungkinan lesen mereka juga boleh dibatalkan.

“Agensi pelancongan dan juga pengusaha hotel perlu menghantar permohonan dalam tempoh dua minggu kita akan maklum sama ada lulus ataupun tidak,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Jumaat.

Beliau berkata, penguatkuasaan juga akan dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan semua yang terlibat dengan aktiviti pelancongan mengikuti garis panduan yang ditetapkan.

“Bagi pengusaha yang hendak naik taraf (bintang) hotel masing-masing boleh buat permohonan semula kepada kementerian, kita tengok sama ada dia layak ataupun tidak," jelasnya.

Tambahnya lagi, permohonan turut terbuka kepada pengusaha hotel bajet yang ingin naik taraf hotel mereka kepada satu bintang atau dua bintang.