Tian Chua sahkan fail rayuan pemecatannya

Tian Chua
Tian Chua
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua mengesahkan beliau telah memfailkan rayuan secara rasmi kepada parti itu berhubung pemecatannya.

Memetik laporan The Star, Tian Chua yang juga bekas Ahli Parlimen Batu berkata, rayuan itu dibuat sebelum tempoh akhir yang ditetapkan oleh PKR.

"Ya sudah lama (saya hantar rayuan) mengikut tarikh akhir yang telah diberikan parti,"katanya pada Jumaat.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang akhbar pada Khamis memaklumkan bahawa lembaga tatatertib parti masih belum memaklumkan kepada majlis pimpinan pusat mengenai sebarang keputusan berhubung rayuan oleh ahli yang dipecat.

Pada 8 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan parti itu secara rasmi memecat Tian Chua ekoran tindakan pemimpin itu bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas Yee Kew, keputusan pemecatan Tian Chua bersama empat lagi anggota PKR itu dibuat semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sebelum itu.

Menurutnya, empat lagi anggota lain ialah Puah Chee Haur daripada Cabang PKR Parit Buntar, Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali (Cabang Gopeng) dan M Mohganan (cabang Taiping) dan Nur Khairunisa Abdullah (Cabang Sadong).

Tian Chua pernah menjadi Ahli Parlimen Batu di bawah PKR selama dua penggal bermula pada tahun 2008 hingga 2018.