Dua lelaki warga UK dipenjara, denda tipu pelaburan online

Dua lelaki warga United Kingdom masing-masing dipenjara enam bulan dan didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini pada Jumaat atas kesalahan terbabit dalam sindiket penipuan atas talian antarabangsa berjumlah hampir RM53,000. - Gambar hiasan
Dua lelaki warga United Kingdom masing-masing dipenjara enam bulan dan didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini pada Jumaat atas kesalahan terbabit dalam sindiket penipuan atas talian antarabangsa berjumlah hampir RM53,000. - Gambar hiasan
A
A
A

BUTTERWORTH - Dua lelaki warga United Kingdom masing-masing dipenjara enam bulan dan didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini pada Jumaat atas kesalahan terbabit dalam sindiket penipuan atas talian antarabangsa berjumlah hampir RM53,000.

Lloyd George Bedwell, 48, dan Roger Hoi Wing Wu, 46, dijatuhi hukuman itu selepas kedua-duanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Kedua-dua tertuduh diarahkan menjalani hukuman itu bermula tarikh mereka ditahan iaitu 21 Februari lalu.

Mengikut pertuduhan dihadapi Lloyd dan Roger bersama seorang lagi yang masih bebas iaitu Jacob Yazdi didakwa telah menipu dua warga Austria, Trevor Ronald John Curtis dan Kimberley John Buist Walker.

Mereka memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa beliau dijamin akan mendapat kentungan yang tinggi daripada satu pelaburan jangka masa singkat dengan membuat pembelian saham di syarikat dikenali sebagai Devon Energy Corporation yang kedua-dua tertuduh ketahui tidak wujud.

Sehubungan itu, mereka dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan sejumlah AUD8,991.92 (RM27,018.28) AUD8,573 (RM25,759.54) ke dalam akaun RHB Bank Berhad milik MB International Sdn. Bhd.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan mereka di Island Plaza Tower, Tanjong Tokong pada 16 Disember 2022 dan 5 Januari 2023.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib, Noor Azura Zulkifli dan Afiqa Liyana Rozman manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam V. Muniandy dan A. Ashok.

SPRM sebelum ini membongkar satu sindiket ‘scammer pelaburan’ yang didalangi warga UK bersama beberapa negara lain kerana turut terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram serta rasuah menerusi Op Tropicana.

Mereka dipercayai menipu mangsa yang terdiri daripada warga Australia dan UK dengan memperdayakan mereka membuat pelaburan tidak wujud. Modus operandi sindiket itu adalah mencari mangsa menerusi media sosial dan panggilan telefon.