Sundra Rajoo tidak teruskan saman terhadap Tommy Thomas, 12 lagi

Sundra Rajoo (depan, kiri) tidak akan meneruskan samannya terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan 12 pihak lain berhubung penahanan dan pendakwaan salah terhadapnya berkaitan kes pecah amanah wang AIAC. - Foto fail Bernama
Sundra Rajoo (depan, kiri) tidak akan meneruskan samannya terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan 12 pihak lain berhubung penahanan dan pendakwaan salah terhadapnya berkaitan kes pecah amanah wang AIAC. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Datuk Profesor Dr N. Sundra Rajoo tidak akan meneruskan samannya terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan 12 pihak lain berhubung penahanan dan pendakwaan salah terhadapnya berkaitan kes pecah amanah wang AIAC.

Ini berikutan Sundra Rajoo telah memfailkan notis pemberhentian menerusi Tetuan Cheok Ng Lee Law Chambers pada 8 Mac lepas.

Berdasarkan sistem mahkamah, notis pemberhentian itu menyatakan Sundra Rajoo selaku plaintif memberhentikan sepenuhnya tindakan saman yang difailkannya pada 15 Okt 2021 terhadap defendan-defendan tanpa perintah untuk kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula tuntutan saman tersebut.

Perkara itu disahkan oleh peguam TJ Lee, yang mewakili Sundra Rajoo ketika dihubungi hari ini.

Menurut Lee, saman itu tidak diteruskan kerana penyelesaian kes dicapai dengan kerajaan Malaysia dan satu daripada terma penyelesaian ialah untuk menarik balik kes.

"Namun syarat-syarat perjanjian penyelesaian tidak dapat didedahkan," kata peguam itu.

Pada 21 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache menolak permohonan Thomas dan 12 lagi selaku defendan untuk membatalkan saman Sundra Rajoo selepas memutuskan bahawa saman itu bukanlah kes yang sesuai dan wajar untuk dibatalkan kerana ia bukan kes yang mudah kerana fakta naratif dalam pernyataan tuntutan melebihi satu halaman.

Defendan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan rayuan itu sepatutnya didengar pada 13 Jun ini di Mahkamah Rayuan.

Selain Thomas, turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohamad Shukri Abdull, beberapa pegawai SPRM dan Timbalan Pendakwa Raya iaitu Khong Hui Li, Mohd Adrian Zaiman Zainiar, Md Yusrin Md Yusof, Mohd Fadhly Mohd Zamry, T. Nesavan, G. Sharan Raj, Hasmizzy Md Hasim, Kamal Baharin Omar dan Mohd Zaki Mohd Salleh serta SPRM dan kerajaan Malaysia.

Pernyataan tuntutan Sundra Rajoo mendakwa, atas arahan Mohamad Shukri dan Thomas, pegawai SPRM Mohd Adrian serta Md Yusrin telah menahannya secara salah dari 8 malam pada 20 Nov 2018 hingga 5 petang, 21 Nov 2018 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Beliau mendakwa penahanan itu bercanggah dengan Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Sundra Rajoo mendakwa Mohd Adrian dan Md Yusrin telah menahannya walaupun telah dimaklumkan bahawa beliau telah diberikan keistimewaan serta kekebalan ejen diplomatik atas kapasitinya sebagai Pengarah AIAC ketika itu.

Susulan itu, Sundra Rajoo mendakwa beliau telah ditahan reman serta disingkirkan daripada jawatannya sebagai Pengarah AIAC dan akibat penahanan itu, beliau telah diejek manakala reputasinya turut terjejas.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi khas berjumlah RM3,749,557.26, ganti rugi teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama