Rashford pacu United ke suku akhir Liga Europa

Rashford (depan) menyumbat gol tunggal untuk membawa United ke suku akhir Liga Europa. - Foto AFP
Rashford (depan) menyumbat gol tunggal untuk membawa United ke suku akhir Liga Europa. - Foto AFP
A
A
A

GOL tunggal pemain sensasi, Marcus Rashford sudah cukup buat Manchester United menang 1-0 ke atas Real Betis, awal pagi Jumaat untuk meraih tiket ke suku akhir Liga Europa menerusi agregat 5-1.

Jaringan itu dihasilkan Rashford menerusi sepakan lencong dari jarak jauh pada minit ke-55.

Gol itu juga melemahkan semangat para pemain Betis yang begitu bertenaga dalam awal saingan bagi mengurang defisit empat jaringan yang dibawa United.

"Selepas gol pertama terhasil, mereka (Betis) mula hilang rentak dan kurang keyakinan.

"Ia satu lagi langkah (ke hadapan). Kami lakukannya dengan baik menerusi mentaliti mahu menang," ujar jurulatih United, Erik ten Hag.

Ia adalah gol keenam Rashford dalam kejohanan tersebut dan jaringan peribadi ke-27 dalam semua pertandingan musim ini sepanjang 43 penampilan.

"Rashford mempunyai beberapa peluang sebelum itu, namun terlepas.

"Bagaimanapun dia kekal percaya serta terus mencuba dan akhirnya berjaya," kata Ten Hag.

Pada aksi itu, bos United memberikan peluang kepada pemain sayap berumur 21 tahun, Facundo Pellistri berada dalam kesebelasan utama.

Ia susulan aksi cemerlang Pellistri yang sebelum ini masuk sebagai pemain gantian.